ANDA yang sudah bersara tetapi jemu dengan kehidupan pesara dan kini mencari pekerjaan atau dengan NGO untuk mengisi masa terluang? Ramai tak?
Saya pernah bersara di usia awal 40an dan merasa tidak keruan dan kembali bekerja untuk mengisi masa lapang untuk berkongsi pengalaman.
Saya masih bekerja dengan menulis setiap hari walau telah terkena strok dan menjadi OKU kerana hidup penuh warna-warni. Walau dengan penyakit yang tidak seberapa, masih boleh untuk bangkit bekerja.
Ada ribuan orang bersara setiap tahun dengan ada yang memilih untuk menjalani gaya hidup tidak aktif dan hanya duduk di rumah. Terpulang pada kehendak kalau tiada halangan.
Ada yang ingin terus bekerja untuk mencari nafkah atau mengisi masa terluang namun terdapat sedikit peluang yang menanti.
Faktor diskriminasi umur menyebabkan sukar untuk diambil bekerja walaupun dengan kemahiran dan kepakaran yang dimiliki oleh pesara yang masih berdaya.
Ramai pesara yang mahukan pekerjaan mengubah kehidupan tetapi sukar mendapatkan pekerjaan dan merasa terbuang begitu sahaja, menanti masa untuk pergi.
Sebaliknya pada masa yang sama kerajaan dan majikan terus membawa masuk jutaan pekerja asing masuk. Ini bagi mengurangkan kekurangan dalam beberapa sektor yang boleh diisi oleh pesara.
Pastinya tidak semua pekerjaan yang ditawarkan kepada pekerja asing boleh diambil oleh pesara kerana efisiensi dan kecekapan diperlukan. Namun majikan harus sekurang-kurangnya melihat apa yang boleh ditawarkan terlebih dahulu sebelum menjerit meminta bantuan asing dengan cara mudah.
Di negara jiran, sebuah badan bukan mencari untung global, telah melatih semula pekerja yang lebih tua dan mengenal pasti campur tangan khusus untuk membantu kumpulan pesara mendapatkan pekerjaan. Sesuatu yang perlu pada masa sekarang.
Di Amerika Syarikat, ramai pesara kembali bekerja memandangkan tekanan inflasi dan kekurangan pendapatan. Termasuk di negara-negara maju yang lain.
Tidak dapat disangkal yang pesara mempunyai banyak pengetahuan, kemahiran dan pengalaman yang terkumpul selama bertahun-tahun bekerja. Ternyata satu pembaziran untuk kehilangan semua pengalaman apabila terpaksa bersara.
Majikan yang berfikiran ke hadapan dan terbuka untuk mengambil pesara berpeluang memperoleh pengalaman, kemahiran dan pengetahuan.
Untuk berlaku adil ada dalam pelbagai sektor yang mengambil pesara, daripada pembuatan, perkhidmatan kewangan kepada runcit dan perkhidmatan.
Kesediaan majikan adalah penentu utama untuk mengambil pekerja yang lebih tua dan kesediaan untuk menyesuaikan struktur kerja untuk memenuhi keperluan.
Apabila memulakan inisiatif mengikut ruang skop maka satu demi satu kebergantungan kepada pekerja asing dalam segmen industri tertentu akan berkurangan.
Tindakan paling penting yang boleh diambil untuk mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing ialah mewujudkan ekosistem baharu yang membolehkan pesara disepadukan ke dalam tenaga kerja.
Dengan mewujudkan reaksi berantai positif yang akhirnya boleh membantu meningkatkan ekonomi dan meningkatkan keluaran dalam negara kasar pada keseluruhan.
Bagi saya meneruskan kerja selepas bersara akan memberi manfaat kepada kekayaan dan kesihatan pesara kerana aktiviti fizikal memberi manfaat kepada tubuh badan, kalau tiada penyakit.
Kalau dikira perspektif pendapatan wang, setiap ringgit yang pesara peroleh bermakna tidak perlu mengeluarkan simpanan walaupun bekerja sambilan dan memperoleh jumlah yang kecil.
Mengekalkan hubungan sosial dan kekal aktif secara fizikal melambatkan penuaan dan bekerja sambilan juga membantu dalam aspek ini.
Pada waktu ini kita sedang menuju ke arah populasi yang semakin tua dengan jangka hayat yang lebih panjang dan purata umur ialah 75 tahun.
Hanya 3% daripada pencarum KWSP mampu bersara dengan pengeluaran berkaitan epidemik COVID-19. Ini bermakna mereka sama ada perlu bekerja lebih keras sekarang untuk menyimpan atau bekerja selepas bersara.
Apabila pertumbuhan global semakin perlahan dan populasi pesara meningkat setiap tahun, kerajaan perlu mengenal pasti cara yang lebih jelas untuk mengambil lebih ramai pesara dan bukannya sentiasa mencari bantuan asing di luar sempadan yang menimbulkan banyak masalah.
Majikan mesti lebih bersedia untuk mengambil dan mengekalkan pekerja yang lebih tua walau dengan gaji yang tidak tinggi. Perlu ada fleksibiliti untuk mengupah pesara secara sambilan, mengubah suai tanggungjawab apabila keupayaan pesara berubah dan membayar upah yang setimpal dengan produktiviti dan bukannya senioriti.
Saya rasa ekonomi gig untuk veteran tentera di mana ditawarkan tangga gaji yang lebih menarik selain masa yang lebih fleksibel.
Objektif utama program ekonomi gig dilaksanakan adalah untuk memberi peluang kedua kepada golongan veteran dan pesara yang mempunyai kelebihan dan kepakaran dalam keselamatan.
Kerajaan harus mempertimbangkan bagaimana untuk menggalakkan majikan mengambil pesara dengan kaedah berbeza dari biasa seperti tentera.
Pemberian geran kepada majikan yang membentuk semula pekerjaan untuk pesara mungkin boleh diberikan. Mungkin juga subsidi gaji kepada yang mengupah pekerja yang lebih tua untuk memberi peluang.
Kerajaan tidak sepatutnya memberitahu firma siapa yang perlu diambil bekerja dan mengapa kerana itu adalah hak majikan.
Pilihan pengambilan pekerja adalah sebahagian daripada strategi untuk jangka panjang. Orang yang berpengalaman mungkin sesuai dengan rancangan pertumbuhan firma dan tidak dalam kes lain.
Pekerja asing datang ke sini dengan set kemahiran dan selalunya tidak mahir. Bersedia untuk mengisi jawatan yang tidak memerlukan kemahiran tinggi dengan gaji murah.
Dengan inflasi yang meningkat semakin lebih sukar untuk mengambil pekerja senior, kerana mereka mungkin mempunyai jangkaan gaji yang lebih tinggi.
Perlu diingat sebagai pesara, jangan mengharapkan gaji terakhir yang dikeluarkan akan dibayar dengan faedah jika anda diambil bekerja semula. Lupakan tentang faedah perubatan dan kemudahan lain juga.
Premium insurans akan meningkat jika majikan melindungi pekerja berumur 60 tahun ke atas. Tentunya akan menjadi beban kewangan dan akan menghalang mereka daripada mengambil pekerja yang lebih tua dan pesara.
Pesara harus mengambil fleksibiliti seperti dalam ekonomi gig untuk mendapatkan perlindungan keselamatan sosial melalui Perkeso.
Ekonomi gig merupakan pekerjaan yang berasaskan kontrak jangka pendek dan pekerjaan bebas dengan disokong oleh aplikasi teknologi. Ekonomi gig ini adalah sebuah model ekonomi yang bergantung kepada pekerja bebas untuk operasi sesebuah perniagaan.
Didefinisikan sebagai ekonomi perkongsian, ekonomi digital, ekonomi kolaboratif, ekonomi berasaskan masyarakat dan ekonomi rakan sebaya yang merujuk kepada permintaan dan penawaran perkhidmatan jangka pendek atau berdasarkan tugas.
Malaysia kini mempunyai kira-kira empat juta pekerja sambilan atau freelancer atau gigger dan jumlahnya semakin meningkat dari hari ke hari.
Nampaknya kepesatan teknologi telah membuka ruang yang lebih luas kepada pekerjaan yang berorientasikan gig untuk diakses oleh kebanyakan individu terutama pesara.
Untuk itu, pesara boleh memilih ekonomi gig yang fleksibel dengan perlindungan Perkeso untuk menjana pendapatan sementara usia masih membenarkan untuk bekerja. - DagangNews.com