WASHINGTON 14 Okt - Bank Dunia memberi amaran bahawa ekonomi global berada dalam keadaan 'bahaya' dan menghampiri kemelesetan.
Presidennya, David Malpass berkata, ia berikutan data inflasi menunjukkan peningkatan, kadar faedah juga terus meningkat dan bebanan hutang terus melonjak di negara sedang membangun.
Badan antarabangsa itu telah menurunkan unjuran pertumbuhan ekonomi global pada 2023 daripada 3% kepada 1.9% iaitu menghampiri paras kemelesetan global.
"Semua masalah telah diberikan perhatian. Isu inflasi, kenaikan kadar faedah dan penurunan aliran modal ke negara sedang membangun juga terjejas sangat teruk (merujuk kepada peningkatan hutang di negara-negara sedang membangun.
"Kemelesetan ekonomi boleh berlaku dalam keadaan tertentu," katanya dalam sidang media ketika mesyuarat Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia seperti dilapor Bernama hari ini.
Dalam kajian yang diterbitkan pada pertengahan September, Bank Dunia memberi amaran bahawa apabila bank pusat di seluruh dunia menaikkan kadar faedah secara serentak sebagai tindak balas kepada inflasi, dunia mungkin menuju ke arah kemelesetan global pada 2023, dengan ramalan pertumbuhan hanya 0.5%.
Pada sidang media berkenaan, ketua Bank Dunia berkata, pertumbuhan penduduk dunia dianggarkan 1.1% setahun.
"Jadi, jika pertumbuhan dunia perlahan, ia bermakna kita akan mundur," kata Malpass bagi menjawab soalan dikemukakan Xinhua.
Memetik laporan Bank Dunia baru-baru ini, beliau berkata, pandemik COVID-19 telah menyebabkan penurunan terbesar dalam pengurangan kemiskinan global sejak 1990, membawa kira-kira 70 juta orang ke dalam kemiskinan tegar menjelang 2020, dan perang di Ukraine memberi ancaman untuk menjadikan keadaan lebih buruk.
Menurut laporan kemiskinan dan kemakmuran bersama, hasil median global menurun sebanyak 4% menjelang 2020, penurunan pertama sejak pengukuran pendapatan median bermula pada 1990.
"Jadi, jika kita mengalami kemelesetan hari ini, ia juga akan memberi tekanan kepada pendapatan median. Ia bermaksud, mereka yang berada di bawah skala pendapatan akan menurun," jelas Malpass. - DagangNews.com