Ekonomi Malaysia akan berkembang lebih perlahan sekitar 4.2% tahun ini ekoran kelembapan global - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia akan berkembang lebih perlahan sekitar 4.2% tahun ini ekoran kelembapan global - MIDF Research

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 10 Feb - Ekonomi Malaysia diunjur berkembang lebih perlahan pada 2023 sekitar 4.2% ekoran dasar monetari dan ketidaktentuan luaran yang lebih ketat dalam kebanyakan negara, demikian menurut MIDF Research. 

 

Pertumbuhan yang lebih perlahan itu disebabkan terutamanya penurunan prestasi perdagangan luar, dengan mengambil kira jangkaan kelembapan dalam permintaan global.

 

Meskipun tidak meramalkan berlaku kemelesetan pada tahun ini, tetapi ia menjangkakan berlakunya kelembapan ekonomi global. 

 

"Ini disebabkan kadar faedah yang lebih tinggi, sentimen perniagaan yang kurang meyakinkan seperti yang dicerminkan dalam tinjauan indeks pengurus pembelian (PMI) Global S&P dan tekanan inflasi yang tinggi, permintaan domestik di Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Eropah (EU) akan lembap pada tahun ini," katanya dalam nota kajian hari ini.

 

Baca : BNM : Ekonomi Malaysia berkembang 7% suku keempat 2022 

 

Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Tan Sri Nor Shamsiah Mohd Yunus dalam sidang akhbarnya ketika membentangkan prestasi ekonomi pada suku keempat 2022, menegaskan bahawa Malaysia tidak akan berdepan kemelesetan ekonomi tahun ini.

 

Malah, pertumbuhan pada 2023 akan dipacu oleh permintaan domestik yang kukuh di tengah-tengah pertumbuhan perlahan ekonomi global.

 

Pada suku berkenaan, ekonomi Malaysia berkembang lebih perlahan sebanyak 7% menjadikan keseluruhan pertumbuhan 2022 pada 8.7%.

 

MIDF Research berkata, meskipun ekonomi pada suku keempat berkembang sederhana tetapi ia mengatasi unjurannya sebelum ini berikutan permintaan domestik yang kukuh dan sumbangan yang lebih tinggi daripada eksport bersih.

 

Bagi tahun ini, ia menjangkakan pertumbuhan eksport sebenar Malaysia berkembang 3%, dengan sebahagiannya disokong peningkatan eksport perkhidmatan melalui aktiviti pelancongan.

 

"Memandangkan China dibuka semula lebih awal daripada yang diramalkan, kami yakin ini akan memberikan rangsangan tambahan kepada eksport perkhidmatan Malaysia serta aktiviti pelancongan," jelasnya.

 

Bagaimanapun, firma itu percaya, perdagangan luar Malaysia akan terus mendapat manfaat daripada eksport komoditi terutama minyak sawit mentah, minyak mentah dan gas asli cecair (LNG) memandangkan harga minyak sawit mentah dan Brent masing-masing dijangka kekal tinggi pada RM3,500 satu tan metrik dan AS$96.5 setong bagi tahun ini. 

 

Sementara itu, sektor pertanian dan perlombongan masing-masing diunjur berkembang 1% manakala pengeluaran pembuatan berkembang sederhana sebanyak 2.7% bagi 2023. 

 

Bagi sektor domestik, pembinaan dan perkhidmatan diunjurkan berkembang masing-masing sebanyak 4.7% dan 5.5%. - DagangNews.com