Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.75% pada 2022 - IMF | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka berkembang 5.75% pada 2022 - IMF

KUALA LUMPUR 14 Feb  - Ekonomi Malaysia dijangka mencapai pemulihan secara beransur-ansur daripada kemelesatan akibat pandemik COVID-19, menurut Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF). 

 

Ini membolehkan badan antarabangsa itu mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2022 pada 5.75% setelah mencatat pertumbuhan 3.1% tahun lalu. 

 

Pakar Ekonomi IMF, Lamin Leigh menyifatkan pertumbuhan itu akan disokong oleh pelancaran vaksin dan pelaksanaan pantas langkah sokongan dasar ekonomi.

 

"Kemelesetan yang lebih teruk (pada 2021) telah dielakkan, hasil daripada tindak balas dasar pandemik yang pantas, besar dan pelbagai serampang yang disasarkan untuk menyokong isi rumah dan perniagaan terjejas.

 

"Oleh itu, pertumbuhan tahun ini diunjur kira-kira 5.75%, dipacu permintaan terpendam dalam negeri dan permintaan luaran yang kukuh," katanya dalam laporan penemuan awal IMF seperti dilapor Bernama.

 

Bank Negara Malaysia (BNM) Jumaat lalu, mengumumkan ekonomi Malaysia mencatatkan pertumbuhan positif sebanyak 3.6% pada suku keempat apabila kegiatan ekonomi disambung semula berikutan pelonggaran langkah-langkah pembendungan. 

 

Berikutan pertumbuhan yang kembali kukuh pada suku berkenaan, menyaksikan KDNK 2021 meningkat sebanyak 3.1% secara keseluruhan manakala kadar pengangguran menurun kepada 4.6%.

 

Pada suku pertama 2021, ekonomi Malaysia mencatat KDNK yang lebih kecil iaitu sebanyak 0.5% berbanding penguncupan 3.4 peratus pada suku keempat 2020.

 

Untuk suku kedua pula, ekonomi negara berkembang kukuh sebanyak 16.1% berikutan permintaan dalam negeri yang bertambah baik dan prestasi eksport yang terus mantap.

 

Lamin menjelaskan krisis pandemik itu akan meninggalkan implikasi yang boleh berlarutan dalam jangka sederhana hingga panjang, dengan pemulihan mungkin tidak sekata, manakala output kekal jauh di bawah paras potensinya.

 

Oleh itu, katanya, pasukannya mengesyorkan tambahan sokongan fiskal bersasar jangka pendek bagi segmen ekonomi yang terjejas teruk dan pelaburan produktif. 

 

"Dalam jangka terdekat, dasar fiskal harus terys tangkas dan bersasar, dengan tumpuan untuk menyokong pemulihan secara berterusan, meminimumkan kesan ekonomi, melindungi segmen penduduk yang terdedah dan meningkatkan pelaburan yang produktif, sejajar dengan keutamaan perbelanjaan kerajaan.

 

"Strategi pengukuhan yang boleh dipercayai, spesifik, mesra pertumbuhan dan jelas harus dilaksanakan sebaik sahaja pemulihan berakar umbi untuk membina semula penampan fiskal, memelihara kemampanan fiskal dan mengurangkan risiko fiskal, disokong oleh amalan tadbir urus fiskal yang mantap," jelas beliau.

 

Beliau menambah, pembaharuan dasar yang bersasar dan diselaraskan dapat membantu menangani cabaran struktur yang lama wujud, mengehadkan kesan ekonomi, meningkatkan produktiviti dan menangani ketidakseimbangan serta memenuhi aspirasi 'Malaysia Makmur, Inklusif dan Mampan'.

 

Laporan ini adalah berdasarkan penemuan awal dan akan disediakan oleh pasukan IMF dan dijangka dibentangkan kepada lembaga eksekutif pada April 2022. - DagangNews.com