KUALA LUMPUR 14 Jan. - Prestasi ekonomi Malaysia dijangka kekal berdaya tahan meskipun menempuhi fasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 2.0 bermula 13 hingga 26 Januari 2021.
Ketua Ahli Ekonomi Juwai IQI Global, Shan Saeed berkata, ia adalah hasil sumbangan produktiviti buruh yang memacu pertumbuhan ekonomi.
"Negara mampu bertahan meskipun keadaan ekonomi dunia yang bergelora berikutan sokongan daripada dasar fiskal dan monetari berterusan kerajaan untuk menyokong laluan pertumbuhan ekonomi.
“Bagaimanapun, pada pandangan saya, kerajaan harus menilai kemajuan perniagaan dan pasaran untuk mengukur momentum sebelum mengumumkan sebarang rangsangan fiskal bagi ekonomi.
“Perusahaan kecil dan sederhana memerlukan banyak sokongan daripada kerajaan memandangkan syarikat kecil mendapati sukar untuk menguruskan aliran tunai mereka,” katanya seperti dilapor Bernama.
Tambah beliau, pasaran ketika ini berada di tengah-tengah keadaan saling mempengaruhi antara epidemiologi (kajian tentang penyakit epidemik) dan ekonomi.
Jelasnya, ia adalah satu pertimbangan yang sangat berhati-hati antara penjagaan kesihatan dan perniagaan.
Kerajaan berusaha sebaik mungkin untuk mengekalkan momentum bagi ekonomi pada tahap makro.
Dalam pada itu, Juwai IQI mengunjurkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) kekal sama iaitu pada 3% hingga 4% pada 2021 dengan ringgit diniagakan antara paras RM3.67 dan RM4.10 berbanding dolar AS.
"Ringgit akan terus mencatatkan kestabilan struktur pada 2021 dan akan didagangkan antara paras 3.67 dan 4.10 berbanding dolar AS.
"Andaian utama bagi kekuatan ringgit pada 2021 adalah kelemahan dolar AS, harga minyak tinggi, ringgit mengekori pergerakan Yuan dan kestabilan makroekonomi tempatan,” tambahnya.
Bank Negara Malaysia (BNM) memiliki banyak ruang untuk berbuat sesuatu dari segi dasar monetari pada 2021.
Bank pusat juga akan terus melaksanakan dasar monetari berhemat untuk memastikan pertumbuhan ekonomi, kestabilan harga pada peringkat makro dan kestabilan kewangan dalam sistem.
“BNM akan menggunakan pendekatan taktikal dan strategik mengikut keadaan pasaran atau apabila diperlukan. Kami di Juwai IQI, akan terus optimis terhadap tinjauan pertumbuhan berikutan respons dasar yang padu daripada kerajaan.
"Lima sektor iaitu minyak dan gas, semikonduktor, pembuatan, penjagaan kesihatan dan perladangan (minyak sawit) dijangka akan mendapat manfaat tahun ini," katanya. - DagangNews.com