Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada 2024, masa terbaik membuat pelaburan - HSBC | DagangNews Skip to main content

Ekonomi Malaysia dijangka lebih baik pada 2024, masa terbaik membuat pelaburan - HSBC

Ekonomi Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan pada tahun ini disokong oleh pengembangan dalam perbelanjaan pengguna, kata penganalisis HSBC./ Gambar Polina Kuzovkova

KUALA LUMPUR 22 Jan - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia diramal berkembang sebanyak 4.5% pada 2024, lebih tinggi berbanding tahun lalu.

 

Ketua Pegawai Pelaburan Asia Tenggara dan India, Perbankan dan Kekayaan Persendirian Global HSBC, James Cheo berkata, Malaysia harus mendapat manfaat daripada pemulihan kitaran elektronik global. 

 

"Ekonomi Malaysia sepatutnya kekal sihat tahun ini, didokong oleh perbelanjaan pengguna dan pelaburan yang berdaya tahan.

 

"Penambahan positif bagi ekonomi Malaysia akan datang daripada pemulihan kitaran elektronik global dan pelancongan global,” katanya.

 

Menurut James, beliau menjangkakan pendapatan konsensus untuk pasaran ekuiti di Malaysia dijangka sihat.

 

"Sentimen risiko global dan kedudukan pelabur antarabangsa boleh menjadi satu cabaran untuk pasaran. Dalam situasi ini, kami mahu berhemat dan sangat selektif dengan strategi ekuiti Malaysia kami," katanya.

 

Mengenai inflasi pula, James berkata, inflasi sepatutnya terus kekal lemah di Malaysia pada 2024 tetapi kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan serta pengurangan subsidi bahan api mungkin memberi kesan. 

 

"Kami berpendapat bahawa Bank Negara Malaysia akan terus mengekalkan kadar dasar pada 3 peratus untuk sepanjang tahun ini. Kami meramalkan Ringgit Malaysia akan kekal stabil pada RM4.55 berbanding AS$1 menjelang akhir 2024,” katanya.

 

Terdahulu, HSBC mengadakan taklimat media berhubung tinjauan pelaburan dan kekayaan di Malaysia. 

 

hsbc
Linda Yip dan James Cheo pada sesi taklimat media berhubung tinjauan pelaburan dan kekayaan di Malaysia. 


 

Sementara itu, Ketua Negara Kekayaan dan Perbankan Peribadi HSBC Malaysia, Linda Yip berkata, separuh pertama 2024 merupakan masa yang baik untuk membuat pelaburan dan seterusnya membuka ruang untuk mencipta kekayaan didorong oleh ekonomi Malaysia serta perbelanjaan kelas pertengahan yang berdaya tahan.

 

Menurut beliau, trajektori Malaysia dijangka terus meningkat dari segi pegangan kepada aset cair.

 

“Simpanan kekayaan dalam Malaysia adalah besar sebanyak AS$359 bilion (RM1.695 bilion) pada 2022 dan ini dijangka berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) sebanyak 3.7 peratus dalam tempoh beberapa tahun akan datang.

 

“Kami percaya langkah-langkah tepat sudah diambil untuk perkara ini menjadi kenyataan. Dari perspektif serantau, pertumbuhan dalam kekayaan swasta di Asia, perbelanjaan kukuh dalam kalangan kelas pertengahan, pecutan transformasi digital dan ekonomi hijau merupakan perangsang kepada pertumbuhan ekonomi, walaupun terdapat cabaran dalam ekonomi global.

 

“Di peringkat tempatan, ekonomi Malaysia dijangka menyaksikan pertumbuhan pada tahun ini. Ini disokong oleh pengembangan dalam perbelanjaan pengguna dan pelaburan serta pasaran buruh menggalakkan yang mana semuanya adalah kondusif untuk memulakan pelaburan,” katanya dalam kenyataan hari ini.- DagangNews.com