Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 31 Mac - Ekonomi negara dijangka kembali pulih tahun ini dengan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) diunjur berkembang antara 6 hingga 7.5% tahun ini.
Menurut Gabenor Bank Negara Malaysia (BNM), Datuk Nor Shamsiah Mohd Yunus, pertumbuhan itu disokong oleh permintaan luar yang kukuh dan perbelanjaan awam serta swasta yang tinggi.
Katanya, pelancaran Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan akan meningkatkan semula keyakinan dan menyokong pemulihan ekonomi.
"Pada masa sama, integrasi Malaysia dalam segmen rantaian nilai global yang berkembang pesat dan struktur perdagangan luaran yang pelbagai, serta sokongan dasar berterusan akan menjadi faktor utama mendorong pemulihan ekonomi pada 2021," katanya dalam kenyataan sempena penerbitan Laporan Tahunan BNM 2020, Tinjauan Ekonomi dan Monetari 2020 dan Tinjauan Kestabilan Kewangan Separuh Kedua 2020 hari ini.
Ketika ini, pemulihan ekonomi global semakin menunjukkan momentum, tambahan pula dengan perkembangan program vaksin bagi mengekang penularan wabak ini di kebanyakan negara.
Ini secara tidak langsung meningkatkan keyakinan dan memberi isyarat ekonomi kembali normal secara berperingkat.
Langkah rangsangan ekonomi akan terus menyediakan sokongan kepada aktiviti ekonomi manakala perdagangan antarabangsa pula menunjukkan peningkatan.
"Walaupun risiko penurunan kepada pertumbuhan tetap ada tetapi fokus BNM adalah untuk memudahkan pemulihan yang berdaya mapan dan kukuh serta mengurangkan kerugian output kekal.
"Oleh itu, dasar monetari pada 2021 akan kekal akomodatif bagi menyokong pertumbuhan ekonomi," katanya.
Shamsiah berkata, meskipun inflasi utama dijangka meningkat tetapi ia dipacu terutamanya oleh faktor penawaran.
"Selain tekanan harga, ia sebaliknya kekal lemah dengan inflasi teras dijangka sekitar 0.5 hingga 1.5% berikutan lebihan kapasiti dalam ekonomi," katanya.
Beliau berkata, bank pusat akan mengguna pakai dasar kewangannya yang mana bersesuaian terhadap pengguna.
Tambahnya, meskipun kadar dasar semalaman (OPR) adalah rendah tetapi ia mencukupi untuk memberi sokongan tambahan kepada ekonomi, justeru, BNM akan berhati-hati mengelakkan sebarang penarikan pramatang terhadap sokongan dasar kewanganya.
"Ini melengkapi pelbagai langkah yang diambil BNM seperti dasar kewangan bersasar dan fleksibiliti kawal selia," jelasnya. - DagangNews.com