Ekonomi negara 2021 dijangka tumbuh sekitar 5.5%-6.0% | DagangNews Skip to main content

Ekonomi negara 2021 dijangka tumbuh sekitar 5.5%-6.0%

pertumbuhan ekonomi

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]

 

 

KUALA LUMPUR 4 Nov. - Prestasi ekonomi negara dijangka akan mencatatkan pertumbuhan yang lebih baik sekitar 5.5% hingga 6.0% pada tahun 2021.

AmBank Research berkata, perkara itu didorong oleh tahap Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global dan tahap perdagangan yang lebih baik.

"Rangsangan fiskal besar-besaran bernilai RM305 bilion atau 21% daripada KDNK harus menyokong ekonomi domestik. Prospek pertumbuhan ekonomi domestik untuk 2021 tetap positif.

"Ia didorong oleh KDNK global dan tinjauan perdagangan yang lebih baik, selain langkah-langkah rangsangan domestik semestinya membantu pertumbuhan ekonomi domestik sekitar 5.5% hingga 6.0%," kata AmBank Research.

Bagi tahun 2020, AmBank Research mengulangi tinjauan pertumbuhan pada kadar -3.6% hingga -5.6%.

Kadar tersebut adalah hampir sama yang diletakkan oleh Bank Negara Malaysia (BNM) iaitu -3.5% hingga -5.5%.

Dalam nota kajian yang sama, AmBank Research turut menyatakan langkah berhati-hati BNM terhadap prestasi ekonomi negara disebabkan oleh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang dijalankan semula.

Jelasnya, perkara tersebut dilihat mampu mempengaruhi momentum pemulihan ekonomi pada suku keempat.

"Meskipun BNM mengekalkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) pada 1.75%, BNM lebih berhati-hati berbanding September lalu kerana PKPB yang dijalankan secara bersasar dapat mempengaruhi momentum pemulihan ekonomi pada suku keempat.

"BNM menekankan bahawa keseimbangan risiko masih condong ke bawah yang disebabkan oleh risiko peningkatan semula jangkitan wabak COVID-19 yang mampu memberi kesan kepada perniagaan, pekerjaan dan pendapatan," jelas AmBank Research lagi. - DagangNews.com