HANOI 20 Mac - Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menafikan kerajaan gagal memulihkan ekonomi negara susulan pandemik COVID-19 kerana prestasi positif Malaysia bagi 2021 menunjukkan negara kini berada pada unjuran yang baik ke arah mencapai sasaran ditetapkan pada tahun ini.
Beliau berkata, berdasarkan laporan Jabatan Perangkaan dan Bank Negara, ekonomi Malaysia berkembang sebanyak 3.1 peratus pada 2021 berbanding penguncupan 5.6% pada 2020.
“Ramai yang menganggap bahawa kita masih gagal untuk memulihkan ekonomi.
''Sebenarnya kita telah pun berjaya memulihkan ekonomi, dari segi jumlah pelaburan langsung asing (FDI) juga merekodkan peningkatan pada tahun 2021 iaitu melebihi RM50 bilion berbanding tahun 2020 sebanyak RM14.6 bilion.
“Indikator positif ini memberi gambaran bahawa negara sedang menuju ke arah pemulihan ekonomi untuk mencapai unjuran Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) sebanyak 5.5% sehingga 6.5% bagi tahun 2022, selari dengan unjuran yang dibuat oleh IMF (Tabung Kewangan Antarabangsa) dan Bank Dunia,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian pada majlis perjumpaan bersama Keluarga Malaysia di sini sempena lawatan rasmi beliau ke Vietnam, Bernama melaporkan.
Perdana Menteri juga berkata kerajaan sentiasa prihatin menjaga kebajikan rakyat terutama dalam membantu pekerja industri pelancongan yang terkesan wabak itu.
“Apabila sekatan pergerakan di seluruh negara (dilaksanakan), waktu itu syarikat akan buang pekerja. Mereka tiada pendapatan namun kena bayar gaji pekerja, jadi kerajaan menghabiskan berbilion ringgit untuk subsidi upah gaji iaitu kerajaan bayar gaji pekerja supaya majikan tidak buang pekerja.
“Ini yang dilakukan oleh kerajaan untuk pastikan ada pendapatan oleh rakyat dan kita tidak membebankan rakyat dan majikan yang mungkin membuang pekerja mereka… sebab itu dari segi pengangguran, walau ada peningkatan kita cuba kawal,” katanya.
Perdana Menteri berkata, suasana politik di Malaysia adalah stabil ketika ini dan beliau yakin lebih banyak pelaburan luar akan memasuki negara.
Sejak mengambil alih tampuk pemerintahan, Ismail Sabri berkata buat julung kalinya pembangkang dan kerajaan boleh duduk bersama untuk berbincang isu berkaitan negara.
Beliau berkata, berikutan memorandum persefahaman yang ditandatangani antara kerajaan dengan pembangkang, walaupun terdapat perbezaan pandangan pembangkang tidak terlalu emosional dan mereka menyokong kerajaan dalam sidang Parlimen.
“Keadaan politik stabil ketika ini, sebab itu kita yakin lebih banyak pelaburan luar akan masuk ke Malaysia, cuma ramai yang minta diadakan pilihan raya lebih awal.
''Kita risau juga jika pilihan raya lebih awal, kestabilan mungkin tidak dapat dikekalkan.
“Alhamdulillah, politik kita stabil. Bolehlah balik Malaysia,” katanya dalam nada bergurau yang disambut ketawa kecil para hadirin.
Perdana Menteri memberi contoh pindaan Perlembagaan Persekutuan berkaitan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang mendapat sokongan majoriti dua pertiga Ahli Parlimen.
“Pindaan Perlembagaan bukan seperti rang undang-undang lain yang hanya perlukan majoriti mudah ...untuk pindaan Perlembagaan, mesti dapat dua pertiga majoriti dan undi ini secara individu bukan lebih suara… jadi, keadaan politik adalah stabil,” katanya.
Pada hari pertama lawatan rasmi itu, Perdana Menteri turut mengadakan pertemuan mesra dengan wakil pengurusan tertinggi beberapa konglomerat Vietnam termasuk yang berhasrat mengembangkan perniagaan ke Malaysia.
Presiden Dewan Perniagaan Malaysia Vietnam Datuk Theng Bee Han turut hadir pada majlis itu dan membantu memperkenal wakil syarikat terbabit antaranya Naib Presiden Sovico Group Dr Dinh Viet Phuong, Pengerusi Hoa Binh Construction Le Viet Hai dan Pengarah Urusan GAMI Group Pham Hai Minh.
Sovico Group merupakan konglomerat swasta utama Vietnam yang terlibat dalam pelbagai industri termasuk memperkenal syarikat penerbangan tambang murah Vietjet Air manakala Hoa Binh Construction Group adalah syarikat pembinaan terkemuka dengan lebih 31,000 pekerja.
Gami Group pula terkenal dalam bidang hartanah, taman tema dan perdagangan termasuk mengimport kenderaan untuk pasaran di Vietnam. - DagangNews.com