Ekoran harga bahan mentah meningkat, Kawan Food belum bercadang naikkan harga jualan | DagangNews Skip to main content

Ekoran harga bahan mentah meningkat, Kawan Food belum bercadang naikkan harga jualan

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 18 Nov - Kawan Food Bhd. dijangka merekodkan prestasi lebih baik pada suku keempat 2021 didorong prestasi kukuh menerusi pasaran domestik dan eksport, menurut CGS-CIMB. 

 

Dalam nota kajian, penganalisisnya, Walter Aw berkata, prestasi lebih baik itu juga dipengaruhi pengambilan tenaga kerja yang lebih ramai pada Oktober lalu, meningkat kepada 422 berbanding 300 setakat akhir separuh pertama 2021.

 

Sehubungan itu, katanya, ia tidak membuat perubahan kepada anggaran pendapatan sesaham (EPS) bagi Kawan Food. 

 

"Malah, kami juga mengekalkan saranan 'beli' terhadap Kawan Food dengan harga sasaran lebih tinggi pada RM2.70 berbanding RM2.50 sebelum ini.

 

"Kami berpendapat Kawan Food memiliki prospek pendapatan yang kukuh (dengan kadar pertumbuhan tahunan dikompaun 27.3% EPS bagi tahun kewangan 2020-2023), jenama yang kukuh dalam pasaran roti sejuk beku dan kedudukan imbangan tunai yang mantap (tunai bersih sebanyak RM16.5 juta setakat akhir suku ketiga 2021)," katanya hari ini.

 

Pada suku ketiga berakhir 30 September 2021, Kawan Food merekodkan untung bersih teras sebanyak RM7.2 juta (peningkatan 5.4% tahun ke tahun) setelah mengambil kira keuntungan sekali sahaja sebanyak RM500,000 (terutama keuntungan nilai saksama bagi aset kewangan).

 

Ini menjadikan untung bersih teras bagi tempoh 9 bulan sebanyak RM21.8 juta (susut 4.4% tahun ke tahun). 

 

"Kami menganggap ini adalah dalam jangkaan kami (70% daripada tahun kewangan 2021 kami) tetapi di bawah konsensus Bloomberg (65% daripada tahun kewangan 2021)," tambahnya.

 

Menurut Aw, Kawan Food menyasarkan untuk meningkatkan jumlah pengeluaran dengan kadar penggunaan ditingkatkan kepada lebih 65% pada separuh kedua 2021 (berbanding 45% pada separuh pertama). 

 

Katanya, ini berikutan permintaan kukuh daripada pelanggan di peringkat domestik dan luar negara.

 

"Dengan penambahan pekerja pada Oktober lalu, Kawan Food menyasarkan untuk meningkatkan pengeluaran bulanan sebanyak 35.5% kepada 1.8 juta tan mulai November ini dan seterusnya," katanya. 

 

Dari segi kenaikan bahan mentah pula, beliau berkata, Kawan Food melaksanakan beberapa beberapa langkah antaranya menggunakan pendigitalan dan automasi secara berterusan, skala ekonomi lebih tinggi dan juga kawalan kos keseluruhan yang lebih baik.

 

"Pada masa sama, kami juga difahamkan, Kawan Food tidak merancang untuk menaikkan harga jualan dalam tempoh terdekat kerana ia percaya kuasa perbelanjaan pengguna masih kekal lemah," jelas beliau. - DagangNews.com