KUALA LUMPUR 30 Okt - Diplomasi pertahanan Malaysia dan Indonesia dieratkan menerusi penglibatan tentera darat kedua-dua negara dalam Eksesais Keris Kartika Malaysia & Indonesia (Kekar Malindo) Siri 46AB/2023.
Latihan ketenteraan tahunan itu kali ini diadakan di sekitar kawasan Tawau dan Kalabakan, Sabah.
Siri Eksesais Kekar Malindo ini yang telah dilangsungkan lebih 40 tahun lalu membuktikan hubungan pertahanan diplomatik yang teguh antara kedua-dua negara.
Melalui eksesais ini, ia dapat memupuk semangat persaudaraan, bertukar pendapat dan berbincang dalam melaksanakan latihan serta operasi gabungan untuk kebaikan bersama.
Kekar Malindo yang diadakan secara timbal balas melibatkan tiga fasa operasi iaitu latihan silang, perancangan strategi dan latihan medan.
Ia melibatkan 66 pegawai dan 693 anggota dari formasi 13 Briged termasuk anggota sukarela Rejimen 516 Askar Wataniah mewakili Tentera Darat.
Tentera darat Indonesia pula diwakili Batalyon Infanteri (Yonif) 613/Raja Alam, Tarakan yang terdiri daripada 10 pegawai bersama 65 anggota.
Eksesais Kekar Malindo melibatkan aturgerak anggota dan set-aset ketenteraan daripada pasukan kedua-dua negara untuk menguji fungsi pemerintah dan pegawai staf pada peringkat batalion infantri.
Ia juga bagi meningkatkan persefahaman, kerjasama dan keupayaan kedua-dua pihak dalam melaksanakan latihan bersama.
Dalam eksesais ini, Batalion Ke-26 Rejimen Askar Melayu Diraja bersama kompeni dari Batalyon Infanteri 613/Raja Alam akan bertindak sebagai pasukan biru dibantu Trup Formasi 5 Divisyen.
Pasukan lawan dan penilai latihan pula membabitkan Batalion Ke-8 Rejimen Sempadan.
Eksesais ini juga turut serta melibatkan elemen-elemen bantuan khidmat di bawah naungan 13 Briged untuk menjayakan eksesais sepenuhnya.
Pelaksanaan eksesais ini sejajar dengan matlamat Tentera Darat dalam meningkatkan kerjasama pertahanan bersama tentera negara serantau mahupun antarabangsa. - DagangNews.com