(EKSKLUSIF) Lumut Port laksana pelan transformasi persediaan pengurangan arang batu, pelbagai sumber perniagaan maritim | DagangNews Skip to main content

(EKSKLUSIF) Lumut Port laksana pelan transformasi persediaan pengurangan arang batu, pelbagai sumber perniagaan maritim

Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 31 Mei - Lumut Maritime Terminal Sdn Bhd (Lumut Port) menganggarkan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM375 juta diperlukan bagi mengoptimumkan kapasiti pengendalian kargo Lumut Port, seterusnya meningkatkan tahap kendalian kargo kepada tujuh juta metrik tan berbanding 5.5 juta kargo ketika ini.

 

Lumut Port merupakan syarikat yang menyediakan perkhidmatan terminal dan bulk cargo, di mana aktiviti utama adalah pengendalian pengeksportan dan pengimportan, dan ianya adalah syarikat yang dimiliki oleh Perak Corporation Bhd yang juga merupakan salah sebuah anak syarikat Kumpulan Perbadanan Kemajuan Negeri Perak.

 

Ketua pegawai eksekutifnya, Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul berkata sasaran tersebut adalah berdasarkan kapasiti pelabuhan, kecekapan operasi dan pembangunan perniagaan serta sejajar dengan pelan strategik perniagaan Lumut Port bagi tempoh 10 tahun iaitu dari tahun 2016 hingga 2026, dimana tumpuan diberi kepada tiga strategik teras iaitu pertumbuhan perniagaan, peningkatan dan kecekapan produktiviti.

 

 

Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul
                                 Datuk Mubarak Ali Gulam Rasul

 

 

"Lumut Port telah merangka strategi bagi memperkukuhkan segmen-segmen perniagaan khususnya mentransformasikan ekosistem logistik di negeri Perak, dan ia merangkumi Lumut Maritime Terminal (LMT).

 

"Dan penjenteraan iaitu penambahan jentera pengendali bahan (material handler), pembangunan LMT2 serta mempelbagai dan mempergiat sumber perniagaan maritim, terutamanya Fuel Bunkering atau Ship-To-Ship (STS)," beliau memberitahu DagangNews ketika dihubungi baru-baru ini.

 

Menjelaskan dengan lebih lanjut mengenai penjenteraan LMT, beliau berkata pada ketika ini, Lumut Port menggunakan dua jenis jentera pengendali bahan (Material Handler) yang diimport dari Jerman, Terex Fuchs yang dibeli pada tahun 2018 dengan kos sebanyak hampir RM24 juta dan digunakan sepenuhnya pada tahun 2019.

 

"Penggunaan jentera Material Handler ini telah meningkatkan produktiviti kendalian kargo kepada 500 metrik tan sejam dari purata 150 metrik tan sejam. Ia telah mempertingkatkan keupayaan Lumut Port dalam aspek pengendalian dengan peningkatan purata kepada 4.5 juta tan daripada 4.0 juta tan setahun.

 

"Ia juga membantu pengurangan kos kendalian dan pergantungan kepada kontraktor luar. Jumlah penjimatan bersih penggunaan jentera Material Handler berbanding kos kontraktor pada tahun 2021 adalah sebanyak RM 1.8 juta," jelas beliau lagi.

 

 

parafrasa

 

Peningkatan produktiviti Lumut Port menyebabkan syarikat tersebut menambah lagi dua unit jentera dengan harga hampir RM14 juta dan jentera ini akan diperolehi pada penghujung tahun 2023.

 

"Penambahan ini adalah bertujuan untuk mempertingkatkan jumlah kendalian kargo dari 4.5 juta tan kepada 5.1 juta tan pada tahun 2024," kata beliau.

 

Mengenai LMT 2, Mubarak Ali berkata pengendali pelabuhan tersebut sedang usaha menambahkan hasil bagi menampung jangkaan kemerosotan hasil dari LBT Terminal.

 

"Lumut Port telah membangunkan LMT2, Pembangunan Fasa 2 dijangka akan dimulakan pada akhir tahun 2023. Projek pembangunan tersebut akan melibatkan kerja-kerja seperti pembinaan dermaga, pembinaan jalan, kemudahan utiliti seperti elektrik dan air serta infrastruktur asas," katanya.

 

Pembangunan Fasa 2 bagi LMT2 ini dijangka akan menelan belanja lebih dari RM150 juta dan dijangka siap pada tahun 2025 dan dengan adanya terminal baru ini, ianya akan meningkatkan jumlah kendalian kargo pukal serta meningkatkan kapasiti keseluruhan  di LMT Terminal dan LMT2 dari 5.1 juta tan kepada 12.1 juta. 

 

"Ini dijangka dapat menampung kekurangan hasil dari LBT Terminal akibat jangkaan pengurangan kendalian arang," katanya.

 

 

parafrasa

 

 

Terdahulu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) merancang untuk mengurangkan pergantungan kepada arang batu sebanyak 50 peratus menjelang 2035 dan sedang mengkaji secara serius sumber-sumber tenaga boleh diperbaharui seperti hidrogen dan ammonia.

 

TNB telah menandatangani perjanjian import arang batu dengan pengeksport Indonesia yang melibatkan nilai berjumlah RM13.11 bilion bagi tempoh tiga tahun dan kira-kira 65 peratus arang batu yang diperlukan TNB diimport dari sana.

 

TNB telah memperkenalkan arang batu campuran di loji janakuasa arang batunya Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, di Lumut Perak pada 2019. Ia yang mempunyai kapasiti penjanaan 4,100 megawatt dan menggunakan 15 juta tan arang batu sub-bitumen setahun.

 

Ia merupakan sebahagian daripada usaha TNB untuk memastikan bekalan arang batu yang mampan untuk penjanaan elektrik dan pengenalan arang batu campuran untuk Stesen Janakuasa Sultan Azlan Shah, yang menghasilkan 20 peratus daripada penjanaan tenaga Semenanjung Malaysia, akan membantu mendapatkan bekalan arang batu untuk loji janakuasa itu pada masa hadapan.

 

Menjelaskan lebih lanjut mengenai kepelbagaian sumber perniagaan maritim iaitu Fuel Bunkering atau STS, Mubarak Ali berkata Lumut Port pada ketika ini mempunyai empat kawasan STS di dalam had perairan Lumut dan kawasan ini telah diwartakan sebagai kawasan yang diluluskan bagi memindahkan kargo pukal dan cecair di atas air.

 

 

parafrasa

 

 

"Lumut Port kini giat mempromosikan aktiviti bunkering atau pengisian minyak kapal dan aktiviti pemindahan kargo pukal di atas laut, melalui kemudahan STS points di kawasan had perairan Lumut. Saingan utama bagi aktiviti  bunkering adalah negara Singapura yang mempunyai kekuatan dalam kemudahan yang bertaraf dunia," katanya lagi.

 

Beliau menekankan bahawa melalui pelan strategi yang dirancang, Lumut Port berharapan tinggi meletakkan Perak menjadi salah satu pusat kapal-kapal dagang yang melalui perairan Selat Melaka untuk berlabuh dan mengisi minyak (bunkering) melalui Pit-Stop Bunker Hub@Lumut. - DagangNews.com