EksKOM 2022: Sediakan platform e-dagang khusus untuk koperasi berniaga | DagangNews Skip to main content

EksKOM 2022: Sediakan platform e-dagang khusus untuk koperasi berniaga

Ekspo Koperasi Malaysia (EksKOM) bersempena dengan sambutan Hari Koperasi Negara 2022 yang diadakan pada 28 hingga 31 Julai 2022 di MIECC, Seri Kembangan.
Oleh MOHD FUDZAIL MOHD NOR

SAYA telah menyertai Ekspo Koperasi Malaysia (EksKOM) bersempena dengan sambutan Hari Koperasi Negara 2022 di bawah Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi, SKM dan ANGKASA pada 28 hingga 31 Julai 2022.

 

Bersempena sambutan 100 Tahun Gerakan Koperasi Malaysia, lebih 300 koperasi dari seluruh negara telah menyertai program ini dan mempamerkan produk-produk serta perkhidmatan yang ditawarkan.

 

EKSKOM di Pusat Konvensyen dan Pameran Antarabangsa Mines (MIECC), Seri Kembangan membawakan 359 pempamer terdiri daripada koperasi tempatan dan antarabangsa termasuk dari Thailand, Kemboja, Indonesia, Korea dan Filipina, agensi kerajaan, syarikat swasta dan multinasional.

 

Sebanyak RM500,000 disasarkan daripada nilai jualan makanan dan minuman menerusi Festival Makanan Asia.

 

Penganjuran EKSKOM 2022 bertujuan mengukuhkan peranan sektor koperasi sebagai jentera pembangunan ekonomi rakyat untuk meningkatkan taraf hidup masyarakat. Ini menerusi keusahawanan koperasi bagi menangani cabaran peningkatan kos sara hidup yang semakin naik dan memperkasa rantaian bekalan negara secara kolektif.

 

Antara tumpuan utama EKSKOM adalah program keusahawanan dan perdagangan seperti sesi pemadanan perniagaan, demonstrasi produk, ‘pocket talk’, ‘business coaching’ dan jaringan dagangan.

 

EksKOM berjaya mencatat unjuran nilai dagangan ke hadapan melebihi RM100 juta sepanjang empat hari dan berjaya menarik kehadiran 35,767 pengunjung.

 

Potensi perdagangan dan pelaburan itu diraih menerusi empat memorandum perjanjian dan persefahaman serta 170 sesi pemadanan perniagaan dan transaksi perniagaan (B2B) melibatkan koperasi serta syarikat perniagaan termasuk dua koperasi antarabangsa.

 

Kehadiran pengunjung melebihi sasaran awal iaitu sebanyak 30,000 orang, sudah pasti akan membantu menyebarluaskan penawaran produk dan perkhidmatan koperasi kepada rakyat Malaysia. Banyak reaksi positif daripada kalangan pempamer yang terdiri daripada koperasi, agensi kerajaan dan juga rakan strategik.

 

 

noh omar
Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Tan Sri Noh Omar merasmikan sambutan Hari Koperasi pada 30 Julai 2022.

 

 

EksKOM yang dianjurkan telah menyediakan ruang untuk koperasi mempromosi produk serta menjalinkan kerjasama strategik bagi memperkukuhkan lagi pemasaran dan perniagaan mereka.

 

Usaha merakyatkan koperasi serta menjadikan koperasi sebagai pilihan utama perniagaan dan gaya hidup menjadi agenda utama.

 

Penglibatan koperasi pelbagai sektor dari dalam dan luar negara yang mengambil bahagian dalam EksKOM yang dilihat boleh meningkatkan daya saing koperasi agar kekal teguh menjadi jentera penggerak pembangunan sosioekonomi yang berkesan untuk rakyat Malaysia.

 

Pelbagai program menarik dan mesra rakyat turut diatur seperti Jualan Harga Patut, pameran produk dan perkhidmatan koperasi, persembahan budaya dan teater muzikal, peluang pekerjaan menerusi program ‘jom cari kerja’ dan ceramah agama.

 

Pengunjung telah mendapatkan barangan keperluan harian gula pasir kasar 1kg yang dijual dengan harga RM2, minyak masak 5kg pada harga RM38 dan minyak masak 1kg berharga RM2.

 

Majlis perasmian penutupan turut dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah yang menyaksikan pelbagai hadiah menarik seperti motosikal, peti sejuk, basikal, telefon bimbit, televisyen dan pakej penginapan di hotel.

 

 

fudzail

 

 

EksKOM kurang publisiti

Saya sebagai seorang pempaner melalui Koperasi Masjid Nurul Yaqin Berhad terus terpanggil untuk menulis mengenai EksKOM dari penglihatan seorang OKU dan seorang ahli biasa.

 

EksKOM memang berjaya untuk koperasi tetapi bukan untuk orang yang bukan ahli koperasi kerana tidak diuar-uarkan dengan meluas.

 

Mungkin juga tempat penganjuran di MIECC tidak sesuai kerana pengunjung tidak dibenarkan masuk melalui pintu masuk di tingkat satu dengan kenderaan.

 

Apatah lagi untuk pempamer yang datang awal pagi dengan bas dan terpaksa bergerak melalui tingkat bawah dan berjalan jauh ke ekspo.

 

Boleh dikatakan hampir semua rakan saya tidak tahu adanya EksKOM dan di mana untuk berapa hari. Semua kosong kerana tiada pengiklanan meluas kecuali untuk ahli-ahli koperasi.

 

Saya merasakan tempat seperti Putrajaya lebih sesuai dengan begitu ramai pekerja kerajaan. Mungkin ada dewan besar di Putrajaya yang boleh menampung bilangan koperasi.

 

Kita ada 14,668 koperasi yang didaftarkan dan pempamer yang hanya 300 koperasi sangatlah kecil tetapi memberangsangkan. Lebih 5,000 dikenal pasti sebagai tidak aktif dan berstatus dorman namun masih berpeluang untuk ‘diselamatkan’ daripada risiko gulung tikar.

 

Saya berharap bilangan koperasi masih aktif pula berjumlah 9,300 akan dapat koperasi  mengujudkan jaringan atau Facebook dan laman web untuk menguar-uarkan setiap bulan. Saya tidak tahu apa produk koperasi lain terutama sekolah yang agak inovatif.

 

Platform e-dagang khas untuk jualan koperasi

Mungkin sebuah laman web untuk jualan koperasi atas talian seluruh Malaysia di bawah SKM atau Angkasa seperti Shopee dan Lazada khusus untuk koperasi. Mungkin Dagang News menjadi pemangkin untuk berita perkembangan koperasi.

 

Kebetulan tidak banyak kemudahan untuk OKU seperti saya termasuk tiada kerusi di surau dan terpaksa bersolat di dalam ekspo di tengah ramai orang. Saya ada bertanya kepada penganjur untuk kerusi roda tanpa jawapan dan menyuruh saya mencari sendiri di mana yang bertugas.

 

Selama di EksKOM sebagai OKU saya mengharapkan SKM atau Angkasa lebih prihatin untuk OKU dengan menyediakan kemudahan yang sepatutnya. Mungkin juga ada ruang khas untuk koperasi OKU mempamerkan produk.

 

 

fudzail

 

 

Rasanya koperasi Malaysia hampir kesemuanya kepunyaan Bumiputera untuk bidang ekonomi dan kita berharap akan lebih progresif dan aktif untuk memajukan dan berupaya menjadi wadah untuk membantu rakyat memperbaiki dan meningkatkan taraf hidup melalui aktiviti perkumpulan.

 

Pembabitan anggota dalam aktiviti koperasi mampu meningkatkan pendapatan mereka, sekali gus menjana pendapatan negara malah dilihat kepada pertumbuhan koperasi di seluruh dunia, hampir satu bilion penduduk dunia sudah mendapat manfaat daripada aktiviti koperasi termasuk mampu menyediakan peluang pekerjaan.

 

Tidak seperti syarikat yang lebih mengutamakan keuntungan, koperasi pula mementingkan keuntungan untuk diagihkan kepada anggotanya dan pada masa sama membantu komuniti secara kolektif.

 

Operasi memainkan peranan sebagai pencetus dan pencipta ekonomi dalam mewujudkan peluang pekerjaan serta mata pencarian dan manfaatnya merangkumi pelbagai aspek. Sebanyak enam juta daripada 32 juta penduduk Malaysia (20 peratus) adalah anggota koperasi.

 

Kita tidak jangan selalu mengharapkan bantuan dan ihsan dan mampu berdiri sendiri. Koperasilah jawapan terbaik dan rakyat boleh menyertai koperasi yang sedia ada di komuniti malah membangunkan sendiri koperasi yang boleh memberi manfaat bersama.

 

Modal koperasi disumbangkan oleh anggota kerana ramai yang tidak mempunyai modal besar bagi menjalankan perniagaan. Kalau tiada modal, kumpul modal menerusi koperasi. Kalau tiada kepakaran, cari anggota yang mempunyai kepakaran untuk sama-sama membangunkan koperasi. Jawapannya selalu ada pada koperasi.

 

Koperasi menawarkan perniagaan yang selamat dan memberi manfaat persekitaran besar kepada masyarakat setempat sebab tadbir urus yang baik dan dikawal selia oleh Suruhanjaya Koperasi Malaysia (SKM).

 

 

fudzail

 

 

Dalam koperasi, setiap keputusan ada aturan, garis panduan dan punca kuasa yang mengurangkan risiko penyelewengan dengan modal anggota dapat ditadbir dengan baik dan efisien.

 

Justeru, membuka luas peranan gerakan koperasi sebagai benteng membantu masyarakat dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi negara. - DagangNews.com

 
Mohd Fudzail Mohd Nor merupakan kolumnis DagangNews.com menerusi kolum WAINUOIMATA setiap Khamis