Eksport China melonjak 21.1% pada November | DagangNews Skip to main content

Eksport China melonjak 21.1% pada November

 

 

 

BEIJING 7 Dis. - Eksport China pada November melonjak 21.1% berbanding tahun sebelumnya, paras tertinggi sejak Februari 2018, menurut data yang dikeluarkan hari ini. 

 

Malah, ia juga mengatasi jangkaan penganalisis yang mengunjurkan eksport berkembang 12% dan meningkat berbanding 11.4% pada Oktober. 

 

Reuters melaporkan pertumbuhan eksport yang kukuh itu didorong oleh yuan yang melonjak tinggi berbanding dolar Amerika Syarikat yang menjadi khabar gembira kepada pembuat dasar mengenai impak kelemahan mata wang itu kepada persaingan perdagangan China. 

 

Data itu juga menunjukkan import berkembang 4.5% pada November, lebih perlahan berbanding Oktober, 4.7%. 

 

Ia juga lebih rendah berbanding unjuran penganalisis dalam undian Reuters pada 6.1%, tetapi masih merekodkan pertumbuhan untuk bulan ketiga berturut-turut. 

 

Bagaimanapun, penganalisis melihat permintaan domestik dan harga komoditi yang tinggi menjadi faktor yang merangsang pertumbuhan dagangan lebih baik. 

 

"Kami percaya pertumbuhan eksport China akan terus meningkat beberapa bulan akan datang ekoran situasi COVID-19 yang masih buruk di luar negara," katanya. 

 

Penganalisis Nomura berkata, eksport China secara dasarnya disokong oleh permintaan terhadap peralatan perlindungan diri (PPE) dan produk elektronik bagi mereka yang bekerja dari rumah dan juga musim perayaan Krismas tidak lama lagi. 

 

Dalam masa sama, yuan turut mencatat peningkatan 6 bulan berturut-turut, tempoh paling lama sejak akhir 2004 dan diniagakan pada paras tertinggi 2 tahun setengah.  

 

Malah, eksport China juga meningkatkan lebihan dagangan dengan AS kepada AS$37.42 bilion pada November daripada AS$31.37 bilion pada bulan sebelumnya. 

 

Ketua Ekonomi Asia di Oxford Economics, Louis Kuijs berkata, walaupun import China adalah lemah berbanding jangkaan tetapi jumlah import terus meningkat. 

 

"Kami menjangkakan import barangan akan berkembang lagi pada tahun hadapan didorong oleh permintaan domestik yang kukuh dengan import barangan modal yang lebih baik berbanding komoditi lain," katanya. - DagangNews.com