Eksport getah asli, produk getah meningkat kepada RM71 bilion pada 2021 | DagangNews Skip to main content

Eksport getah asli, produk getah meningkat kepada RM71 bilion pada 2021

Datuk Zuraida Kamaruddin melancarkan Konvensyen dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2022 di Kuala Lumpur pada 14 Februari 2022.
Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 14 Feb - Eksport getah asli dan produk getah Malaysia meningkat sebanyak 44% atau RM71 bilion pada tahun 2021 berbanding RM49.2 bilion pada tahun 2020.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Zuraida Kamaruddin berkata, pada masa sama industri tayar juga mencatatkan peningkatan sebanyak 30.5% kepada RM1.7 bilion pada 2021 berbanding RM1.3 bilion pada 2020.

 

Beliau berkata, barangan getah industri yang merangkumi barangan yang digunakan dalam automotif, perlombongan dan pembinaan, menunjukkan pertumbuhan 40% pada 2021 berbanding tahun sebelumnya.

 

"Terdapat potensi besar untuk industri ini berkembang dari segi tambah nilai, penjanaan pekerjaan, kemajuan teknologi, peningkatan kualiti, nilai eksport dan lain-lain. 

 

"Salah satu sebab utama pertumbuhan luar biasa industri getah Malaysia adalah pertumbuhan pelengkap pelbagai bahagian rantaian nilai, terutamanya sektor pengeluaran dan penggunaan.

 

"Sepanjang tahun ini, industri getah Malaysia telah mendapat banyak manfaat daripada sokongan kerajaan terutamanya dalam penyelidikan dan pembangunan," katanya dalam satu kenyataan selepas pelancaran Konvensyen dan Ekspo Industri Getah Antarabangsa (IRICE) 2022, hari ini.

 

KPPK

 


Zuraida berkata, Lembaga Getah Malaysia (LGM) telah membangunkan produk berasaskan getah asli yang mesra alam, mampan dan mempunyai jejak karbon rendah.

 

"Sudah tiba masanya untuk kita menonjolkan produk kita kepada dunia. 

 

KPPK

 


"Kita juga mesti memastikan industri getah Malaysia mematuhi piawaian tadbir urus dan etika tertinggi, menyokong amalan perniagaan mesra alam, dan meletakkan Malaysia sebagai peneraju komoditi pertanian yang berdaya saing dengan produk komoditi pertanian bernilai tinggi dan jangka panjang di persada antarabangsa," katanya.

 

Beliau turut menggesa peserta untuk memanfaatkan IRICE 2022 bagi meningkatkan pengetahuan selain bertukar pandangan dengan profesional industri getah. - DagangNews.com