Eksport kayu diunjur RM23 bilion tahun ini | DagangNews Skip to main content

Eksport kayu diunjur RM23 bilion tahun ini

 

 

KUALA LUMPUR 22 Feb. - Kementerian Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK) menjangkakan eksport sektor perkayuan akan mencecah RM23 bilion tahun ini berdasarkan prestasi tahun lalu yang memberangsangkan di sebalik pandemik COVID-19.

 

Pada 2020, Malaysia merekodkan nilai eksport sebanyak RM22.02 bilion, meskipun menurun 2% berbanding RM22.5 bilion bagi tempoh sama 2019.

 

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, prestasi berkenaan menunjukkan fasa pemulihan positif jika dibandingkan dengan industri lain yang mencatatkan penurunan ketara akibat cabaran bekalan bahan mentah dan permintaan pasaran. 

 

"Namun, bagi tahun ini, selain adanya vaksin yang akan meredakan pandemik COVID-19, prestasi eksport yang lebih baik juga didorong oleh pemulihan ekonomi di negara pengimport utama kayu dan produk kayu seperti di Amerika Syarikat (AS) dan China. 

 

"Malah, kadar permintaan dari negara-negara lain yang semakin meningkat akan memacu industri kayu kekal positif sepanjang tahun ini," katanya dalam kenyataan.

 

Nilai eksport perkayuan mulai meningkat secara bulanan mulai Mei hingga Disember 2020 iaitu semasa fasa pemulihan. 

 

Syarikat-syarikat pengeluar produk kayu terutama perabot kayu, tanggam, papan lapis dan kayu kumai kembali rancak beroperasi untuk memenuhi tempahan pasaran eksport.

 

Prestasi eksport produk bernilai tambah tinggi seperti perabot, tanggam dan kayu kumai merekodkan peningkatan 11% dengan jumlah eksport RM12.3 bilion berbanding RM11.1 bilion pada 2019. 

 

Daripada jumlah eksport ini, perabot kayu masih kekal sebagai produk utama dengan peningkatan eksport yang ketara sebanyak 16% kepada RM10.6 bilion berbanding RM9 bilion pada tahun sebelumnya. 

 

Bagaimanapun, kayu tanggam dan kayu kumai mencatatkan sedikit penurunan masing-masing sebanyak 6% dan 21% kepada RM972 juta dan RM688 juta berbanding RM1 bilion dan RM872.1 juta pada 2019. 

 

Bagi produk utama seperti kayu gergaji, ia mencatat penurunan eksport sebanyak 29% kepada RM2.4 bilion berbanding RM3.4 bilion pada tahun sebelumnya.

 

Selain itu, eksport papan lapis bagi 2020 mencatat penurunan sebanyak 17% kepada RM2.8 bilion berbanding RM3.8 bilion pada 2019.

 

Mohd. Khairuddin berkata, ia disebabkan penurunan eksport ke Jepun yang merupakan pembeli utama papan lapis negara kerana penguncupan industri pembinaan serta persaingan daripada negara pengeluar lain seperti Indonesia dan China.

 

Namun, pasaran utama bagi sektor perkayuan yang menunjukkan peningkatan ialah AS dan China yang mana ia menyumbang 44% daripada keseluruhan eksport Malaysia.

 

AS mencatat peningkatan 50% kepada RM7.4 bilion berbanding RM5 bilion bagi 2019 dipengaruhi oleh rangsangan kerajaan AS kepada ekonominya untuk industri pembinaan semasa pandemik COVID-19 dan peningkatan dalam e-dagang yang membawa kepada pertambahan permintaan negara itu terhadap produk kayu Malaysia. 

 

China pula merekodkan peningkatan 23% kepada RM2.3 bilion berbanding RM1.8 bilion bagi tempoh sama 2019.

 

Menurut beliau, kementerian menerusi Lembaga Perindustrian Kayu Malaysia (MTIB) dan Majlis Kayu-Kayan Malaysia (MTC) akan terus berusaha bagi memastikan industri perkayuan kekal kompetitif di pasaran global dan domestik. 

 

Pada masa sama, katanya, KPPK akan sentiasa memantau pihak industri untuk terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan oleh kerajaan.
 

"Selain adanya vaksin yang akan meredakan pandemik COVID-19, pemulihan ekonomi di negara pengimport utama kayu dan produk kayu seperti di AS dan China serta kadar permintaan dari negara-negara lain yang semakin meningkat akan memacu industri kayu kekal positif sepanjang tahun 2021. - DagangNews.com