Eksport kontena Suria Capital diunjur terima rangsangan mulai 4QFY23 - MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Eksport kontena Suria Capital diunjur terima rangsangan mulai 4QFY23 - MIDF Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Eksport kontena Suria Capital Holdings Berhad dijangka menerima rangsangan mulai suku 4QFY23 didorong oleh penjanaan kargo oleh dua pelabur asing utama iaitu SK Nexilis dan Kibing Group, yang telah menubuhkan pangkalan pengeluaran di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP).

 

MIDF Research menjangkakan pertumbuhan yang stabil dalam pengeluaran kargo konvensional dalam jangka sederhana.

 

Bagaimanapun, ia bergantung pada pengeluaran minyak sawit Sabah yang telah meningkat sebanyak 10.3 dalam tempoh tujuh bulan tahun ini, mencecah 2.5 juta tan.

 

Pelabuhan utama minyak sawit di Sandakan telah menyaksikan peningkatan eksport yang ketara sebanyak 19.5% dalam tempoh yang sama.

 

"Selain itu, harga produk petroleum yang stabil sepatutnya menyumbang kepada penggunaan domestik yang stabil, meningkatkan daya pengeluaran minyak pukal.

 

"Minyak pukal dan minyak sawit bersama-sama membentuk 48% daripada pengeluaran kargo di Pelabuhan Sabah," katanya dalam satu nota kajian, hari ini.

 

Kumpulan itu melaporkan  keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) teras sebanyak RM13.7 juta pada 2QFY23, menghasilkan PATAMI teras terkumpul sebanyak RM32 juta untuk 1HFY23.

 

Ia melebihi jangkaan firma itu dengan mewakili 61% daripada anggaran tahun penuh mereka.

 

Firma penyelidikan itu mengekalkan penarafan 'neutral' dengan harga sasaran (TP) RM1.45 sesaham. - DagangNews.com