Eksport minyak sawit ke AS tidak terjejas | DagangNews Skip to main content

Eksport minyak sawit ke AS tidak terjejas

Ekport minyak sawit

KUALA LUMPUR 5 Nov. - Aktiviti eksport produk minyak sawit negara ke Amerika Syarikat (AS) secara amnya dilihat tidak menghadapi sebarang masalah kecuali sekatan dagangan yang dikenakan ke atas produk sawit keluaran FGV Holdings Bhd. (FGV) yang bermula 1 Oktober 2020.

Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi, Datuk Dr. Mohd. Khairuddin Aman Razali berkata, sekatan berkenaan dilihat tidak memberi kesan signifikan terhadap sektor tersebut.

"FGV hanya mengeksport 40 tan minyak sawit ke AS.

"Eksport minyak sawit Malaysia ke AS bagi tempoh Mei hingga September 2020 adalah sebanyak 292,940 tan dan 292,011 tan bagi tempoh sama pada 2019.

Mohd. Khairuddin Aman Razali
Mohd. Khairuddin Aman Razali

 

"Oleh itu, buat masa ini sekatan yang dikenakan ke atas produk minyak sawit Malaysia oleh AS tidak memberi kesan yang besar terhadap sektor ini," katanya ketika menjawab persoalan Datuk Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) di Dewan Rakyat hari ini seperti dilapor BERNAMA.

Mohd. Khairuddin memberi penjelasan tersebut selepas Jalaluddin meminta beliau mengulas berkaitan kesan tindakan sekatan AS terhadap import produk sawit Malaysia bagi tahun 2020.

Mengulas lanjut, beliau turut memberitahu bahawa FGV telah mengeluarkan kenyataan media berhubung isu sekatan AS terhadap syarikat berkenaan.

 

Jalaluddin Alias
Jalaluddin Alias

 

"Menyentuh dakwaan Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS bahawa FGV menggunakan tenaga tenaga buruh paksa, pihak FGV telah mengeluarkan kenyataan media bagi menjawab dakwaan tersebut.

"Untuk makluman, pihak CBP (Jabatan Kastam dan Perlindungan Sempadan (CBP) AS) telah mengeluarkan Withhold Release Order atau WRO (Perintah Sekatan Pelepasan) terhadap import minyak sawit dan produk FGV pada 30 September 2020.

Dakwaan penggunaan buruh paksa dalam proses keluaran produk sawit FGV yang belum disahkan itu dikeluarkan berdasarkan petisyen yang dikemukakan oleh beberapa badan bukan kerajaan (NGO) kepada pihak CBP. 

Dalam ulasan sama, beliau turut menegaskan undang-undang Malaysia jelas tidak membenarkan sebarang bentuk penyeksaan, penindasan, keganasan fizikal dan seksual terhadap mana-mana pekerja di semua sektor di negara ini. - DagangNews.com