KUALA LUMPUR 16 Feb. - Eksport perkhidmatan negera dijangka akan terus menempuhi fasa 'suram' susulan gelombang ketiga wabak COVID-19.
Bagaimanapun, Fitch Solutions berkata, eksport bersih secara keseluruhannya dilihat berpotensi menjadi penyumbang utama kepada pertumbuhan negara pada tahun 2021.
"Eksport bersih dijangka menyumbang 1.7 mata peratusan kepada pertumbuhan ekonomi.
"Eksport perkhidmatan bagaimanapun dijangka akan terus berprestasi lemah susulan sektor pelancongan berdepan cabaran gelombang ketiga wabak.
"Import pula akan terus menguncup secara ketara. Dua dinamik bertentangan ini akan membantu menyokong keseimbangan perdagangan," jelas Fitch Solutions.
Semalam, DagangNews.com melaporkan bahawa Fitch Solutions membuat semakan turun unjuran Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2021.
Fitch menurunkan unjuran KDNK tersebut kepada 4.9% berbanding 10% dalam unjuran sebelumnya.
Pengurangan tersebut dibuat setelah menilai kepada impak perintah kawalan pergerakan (PKP) yang menyebabkan peningkatan kadar pengangguran sekali gus menurunkan permintaan domestik dengan ketara.
Baca: Fitch 'potong' separuh ramalan KDNK 2021 Malaysia
"Kami jangka langkah sekatan pergerakan akan berterusan dan tidak menolak semakan semula unjuran pertumbuhan dalam bulan-bulan mendatang," tambah Fitch lagi.
Dalam pada itu, Fitch Solutions turut membuat semakan semula unjuran pertumbuhan penggunaan swasta kepada 3.0% berbanding 6.0% sebelumnya. - DagangNews.com