Eksport sarung tangan getah Malaysia pada Januari-Julai 2020 naik 50.1%  | DagangNews Skip to main content

Eksport sarung tangan getah Malaysia pada Januari-Julai 2020 naik 50.1% 

KUALA LUMPUR 9 Sept. -  Nilai eksport sarung tangan getah Malaysia pada tempoh Januari hingga Julai 2020 menyaksikan peningkatan sebanyak 50.1% kepada RM15.06 bilion.

Nilai itu meningkat daripada RM10.3 bilion yang dicatatkan bagi tempoh sama pada tahun lalu.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong berkata, pasaran eksport Malaysia yang bernilai 220 bilion unit memegang sebanyak 67% daripada permintaan global (330 unit).

Jelasnya, kenaikan itu didorong oleh permintaan yang tinggi serta usaha kerajaan dalam membantu industri sarung tangan getah. 

 

Lim Ban Hong
Lim Ban Hong. - Gambar oleh Facebook Lim Ban Hong

 

“Ini merupakan peluang baik untuk negara memperkukuhkan jenama dan keyakinan terhadap produk Malaysia di peringkat antarabangsa,” katanya kepada Dewan Negara seperti dilaporkan Bernama. 

Beliau menjawab soalan Senator Idris Ahmad, yang ingin mengetahui mengenai usaha dan tindakan kerajaan untuk mengambil peluang di dalam sektor pembuatan serta penghasilan sarung tangan getah yang dilihat semakin rancak semenjak penularan COVID-19, menjadikannya sebagai antara sumber pendapatan negara.

Tambah Ban Hong, kerajaan turut akan menggalakkan industri sarung tangan getah untuk membuat pelaburan semula atau pelaburan tambahan bagi merebut peluang di dalam sektor pembuatan serta penghasilan sarung tangan getah yang kian berkembang.

Kata beliau, pelaburan itu boleh dilakukan menerusi Skim Galakan Elaun Pelaburan Semula Khas (EPS Khas) di bawah Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA). 

“Memandangkan industri sarung tangan getah berkembang rancak selepas berlakunya pandemik dan wujudnya keperluan untuk membina kilang dengan kadar lebih cepat, kerajaan melalui PENJANA telah memperkenalkan inisiatif di mana syarikat boleh mendapatkan kelulusan Lesen Pengilang dalam tempoh 48 jam menerusi inisiatif permohonan lesen pengilang secara dalam talian,” tambah beliau.

Kerajaan dalam masa sama turut menggalakkan penggunaan automasi dan teknologi tinggi dalam sektor perkilangan termasuk industri sarung tangan getah.

Langkah itu dapat dilihat menerusi usaha Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) melalui agensinya, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) yang menawarkan Insentif Elaun Modal Automasi bagi industri perkilangan yang berintensifkan buruh untuk menggalakkan penggunaan automasi dalam sektor perkilangan. - DagangNews.com