Eksport tenaga boleh diperbaharui dijangka tarik pelaburan RM637 bilion sehingga 2050 – MIDF Research | DagangNews Skip to main content

Eksport tenaga boleh diperbaharui dijangka tarik pelaburan RM637 bilion sehingga 2050 – MIDF Research

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 10 Mei - MIDF Research berkata sasaran tenaga boleh diperbaharui (RE) yang ditingkatkan kepada 70% dijangka menarik pelaburan sehingga RM637 bilion sehingga 2050 melibatkan sumber penjanaan infrastruktur grid dan kapasiti penyimpanan tenaga.

 

Secara umumnya, firma penyelidikan itu berpendapat bahawa keputusan dasar terkini juga memberi isyarat kepada potensi akses pihak ketiga kepada grid untuk membenarkan penghantaran tenaga dari penjana RE kepada pelanggan akhirnya dan merupakan satu langkah ke arah liberalisasi pasaran.

 

Firma itu berkata pemansuhan larangan eksport RE dapat memanfaatkan permintaan serantau, meletakkan Malaysia untuk perdagangan RE serantau pada masa hadapan.

 

Kerajaan juga memberi komitmen kepada sasaran campuran kapasiti RE yang lebih agresif di bawah kemas kini dasar terkini, di mana firma itu menjangkakan ia akan didayakan oleh penggunaan sistem penyimpanan tenaga berskala grid lebih besar pada masa hadapan untuk menampung sumber RE yang berubah-ubah.

 

Oleh itu, polisi RE baharu ini dijangka memberi manfaat dalam jangka segera kepada syarikat-syarikat utiliti tenaga di Malaysia iaitu YTL Power International Bhd, YTL Corporation Bhd dan Tenaga Nasional Bhd, jelasnya.

 

“Kami percaya YTL Power International Bhd (beli dengan harga sasaran (TP) RM1.12) dan secara tidak langsung, YTL Corporation Bhd, yang memiliki syarikat tersebut, (beli, TP: RM0.83) berpeluang mendapat manfaat dengan segera memandangkan kelebihannya dalam memiliki penjana tenaga dan operasi tenaga runcit di Singapura,” katanya dalam nota hari ini.

 

 

BACA: Kerajaan mansuh larangan eksport tenaga boleh diperbaharui - Rafizi

 

 

Menurut firma itu, tanah YTL Power seluas 2000 hektar di Johor boleh menampung kapasiti solar sehingga 500MW, walaupun sebahagian daripada ini akan digunakan untuk menggerakkan pusat data sendiri yang telah dirancang.

 

Sementara itu, Tenaga Nasional Bhd (TNB) (neutral TP: RM10.00) dipercayai akan mendapat manfaat daripada caj ‘wheeling’ memandangkan kumpulan itu memonopoli grid transmisi nasional.

 

Firma itu juga percaya TNB akan mendapat manfaat daripada perbelanjaan modal lebih tinggi ke dalam infrastruktur grid untuk menampung perdagangan RE serantau yang dibayangkan, yang positif terhadap pendapatan terkawalnya.

 

“Kami percaya potensi peningkatan permintaan dalam eksport RE akan mendorong lebih banyak keperluan untuk kapasiti RE dan tidak menolak bahawa pemilik dan pemaju RE sedia ada seperti Ranhill Utilities (buy, TP: RM0.70), Jentayu dan Cypark dapat memanfaatkan potensi ini,” tambahnya.

 

Selain itu, pemain kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) seperti Solarvest dan Samaiden juga berpotensi mendapat manfaat daripada polisi RE baharu ini. -DagangNews.com