Ketua Pegawai Eksekutif Saora Industries, Ganesh Muren (kiri) menyerahkan cenderahati bagi pihak Ekuinas kepada Datuk Dr Hartini Zainuddin, Perunding Persatuan Bulan Sabit Merah, Datuk Dr Hartini Zainuddin yang pihaknya hadir melalui Zoom.
KUALA LUMPUR 22 Mac - Ekuiti Nasional Berhad (Ekuinas), dengan kerjasama Jabatan Penjara Malaysia menyerahkan 1,000 unit Kelengkapan Pelindung Diri (PPE) kepada Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia (PBSMM) sebagai tanda penyempurnaan Projek PPE.
Majlis penyerahan diadakan di Ibu Pejabat Kebangsaan PBSMM, dengan kehadiran wakilwakil daripada PBSMM dan fasilitator Program tersebut, Saora Industries.
Ini adalah salah satu projek di bawah program Back-to-Society Iltizam bersama Ekuinas iaitu untuk menghasilkan 1,000 unit PPE, merangkumi penutup pakai buang, penutup kepala, kot pengasingan, dan penutup kaki.
Seramai 60 remaja perempuan dari Sekolah Henry Gurney dan 20 penghuni dari Penjara Sungai Udang dan Penjara Jasin terlibat di dalam projek ini.
Pengarah Hal Ehwal Pihak Berkepentingan Ekuinas, Hizwani Hassan berkata, melalui projek ini, Ekuinas mampu menyumbang kepada negara dengan menyediakan kelengkapan sepatutnya kepada barisan hadapan.
Pada waktu sama, katanya, ia juga dapat memberi peluang kepada parapenghuni penjara dan juvenil menjana pendapatan ketika menghasilkan PPE dan mempelajari kemahiran baharu.
"Kerjasama simbiotik inilah yang kami sentiasa berusaha untuk capai dan kami menyasarkan untuk melancarkan kerjasama yang serupa pada masa hadapan," katanya dalam kenyataan hari ini.
Sementara itu, Perunding di PBSMM, Datuk Dr Hartini Zainuddin berkata, terdapat kekurangan bekalan PPE yang nyata untuk para barisan hadapan tatkala mereka bekerja keras bagi menangani dan melindungi diri mereka daripada virus COVID-19.
"Ketika kami mengetahui tentang projek ini, kami komited untuk menghulurkan sokongan dengan membantu
mengagihkan 1,000 unit PPE kepada hospital-hospital yang memerlukan.
"Kami memuji usaha serampang dua mata oleh Ekuinas dalam menangani kesukaran yang dihadapi barisan hadapan sambil meningkatkan kemahiran para penghuni penjara dan juvenil," katanya.
Program Back-to-Society dilancarkan pada Disember 2020, dengan matlamat utama untuk menyediakan latihan dalam meningkatkan dan memperbaiki kemahiran teknikal dan insaniah para penghuni penjara dan juvenil yang bakal dibebaskan untuk memudahkan proses penyesuaian diri semula bersama masyarakat. - DagangNews.com