Elak perbuatan caci-mencaci, serang sesama sendiri - Ismail Sabri | DagangNews Skip to main content

Elak perbuatan caci-mencaci, serang sesama sendiri - Ismail Sabri

 Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob (empat, kiri) merangkap Ketua UMNO Bahagian Bera berucap pada Majlis Perasmian Mesyuarat Perwakilan UMNO Bahagian Bera 2022 hari ini. 

BERA 16 Okt - Perbuatan caci-mencaci, tuduh-menuduh atau menyerang antara UMNO dan PAS tidak seharusnya berlaku dan perlu dielakkan.

 

Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata perbuatan tersebut bukan sahaja dilarang oleh Islam malah kedua-dua parti itu pernah bekerjasama menerusi Muafakat Nasional walaupun hubungan itu kini kian renggang.

 

"Tak sepatutnya kita menyerang sesama sendiri sebab hubungan itu mungkin boleh elok semula pada masa akan datang.

 

"Dalam politik, kita tidak selama-lamanya jadi musuh, tidak selama-lamanya jadi kawan dan sepatutnya kita cuba mengelak daripada menyakitkan hati sesiapa.

 

"Mana tahu, satu hari nanti kita hendak duduk bersama balik demi kepentingan umat Islam dan Melayu di negara ini.

 

"Kalau kita sudah terlepas cakap, menuduh yang bukan-bukan, akhirnya menimbulkan (perasaan) sakit hati antara satu sama lain," katanya di sini hari ini, Bernama melaporkan.

 

Naib Presiden UMNO itu berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas melancarkan Jentera Barisan Nasional P090 Bera, sejurus selepas merasmikan Mesyuarat UMNO Bahagian Bera di Dewan Konvensyen Majlis Daerah Bera di sini.

 

Pendirian itu, menurut Perdana Menteri menyebabkan beliau sendiri cuba mengelak daripada 'mengeluarkan kata-kata kesat kepada sesiapa sekalipun'.

 

Ismail Sabri ditanya mengenai kenyataan Presiden PAS Tan Sri Abdul Hadi Awang yang dilaporkan sebagai berkata PAS menangguhkan kerjasama dengan Barisan Nasional (BN) menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) kerana terdapat 'kekeruhan' dalam parti itu.

 

Kenyataan itu dibuat sehari selepas Pengerusi BN Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi pada 13 Okt lepas, berkata pihaknya memutuskan untuk bergerak secara solo bagi menghadapi PRU15 susulan pembubaran Parlimen pada 10 Okt lalu.

 

Terdahulu, ketika berucap melancarkan jentera tersebut, Ismail Sabri yang juga Ketua UMNO Bahagian Bera memberi 'bayangan' akan mempertahankan kerusi Parlimen Bera yang disandangnya sejak 2004, jika kepimpinan atasan bersetuju.

 

Beliau seterusnya turut mengingatkan jentera parti di Bera untuk bekerjasama dan bersatu hati bagi memenangkan sesiapa sahaja calon dari BN, kerana calon sama ada dari UMNO, MCA atau MIC bertanding di bawah bendera BN. - DagangNews.com