eMooVit, Rapid Bus bekerjasama dalam operasi percubaan bas elektrik berautonomi di BRT Sunway | DagangNews Skip to main content

eMooVit, Rapid Bus bekerjasama dalam operasi percubaan bas elektrik berautonomi di BRT Sunway

oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 27 Sept - eMooVit Technology Sdn. Bhd. yang merupakan anak syarikat Yinson Green Technologies (M) Sdn. Bhd. memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) bersama Rapid Bus Sdn. Bhd. untuk bekerjasama bagi program perintis operasi bas elektrik autonomi di Rapid BRT Sunway.

 

Kerjasama itu akan memanfaatkan kedudukan eMooVit sebagai pemaju khusus dalam kenderaan autonomi dan teknologi robotik serta kedudukan Rapid Bus sebagai pengendali bas terkemuka rangkaian pengangkutan awam Rapid KL di Lembah Klang.

 

Menerusi kerjasama itu, eMooVit menyasarkan untuk menyediakan bas elektrik autonomi dan sistem pengecasan casEV, sokongan teknikal, penyelenggaraan kenderaan dan sesi latihan untuk pekerja Rapid Bus; manakala Rapid Bus perlu menyediakan trek ujian selain kawasan bengkel serta sokongan operasi.

 

Ketua Pegawai Eksekutif eMooVit, Dr. Hairi Zamzuri berharap dapat memperkenalkan kenderaan elektrik autonomi (AEV) kerana mempunyai pelbagai kelebihan, termasuk potensi untuk mengurangkan pelepasan karbon, mengurangkan kesesakan lalu lintas, mengurangkan kos pengangkutan serta tenaga.

 

"Persatuan Insurans Am Malaysia berkata, lebih daripada 80% kemalangan jalan raya di Malaysia berpunca daripada kecuaian. Aspirasi kami adalah agar AEV mengehadkan kesilapan manusia," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Naib Presiden Kanan Elektromobiliti Yinson, Ruslin Tamsir berkata, kerajaan sebelum ini melancarkan Dasar Automotif Negara 2020 bertujuan mempertingkatkan industri automotif, melalui penyelidikan dan pembangunan terutamanya dalam bidang kenderaan generasi akan datang.

 

rapid

 

"Menerusi eMooVit, Yinson teruja untuk bekerjasama dengan salah satu pengendali bas terkemuka di Malaysia, Rapid, dalam memperkenalkan kenderaan generasi akan datang seperti bas elektrik autonomi," katanya.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Rapid Bus, Muhammad Yazurin Sallij berkata, menerusi projek bas elektronik autonomi pertama di Malaysia, Rapid Bus akan menjadi pengendali pengangkutan awam pertama yang memulakan projek perintis menggunakan teknologi itu.

 

"Pelaksanaan projek perintis ini akan memberi tumpuan kepada menilai kesan bas elektrik autonomi terhadap sistem pengangkutan bandar dari segi teknologi, sosial dan ekonomi," katanya. - DagangNews.com