ENEGEM jadi platform urusan perdagangan tenaga rentas sempadan - Petra | DagangNews Skip to main content

ENEGEM jadi platform urusan perdagangan tenaga rentas sempadan - Petra

Pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura ini akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW). Gambar hiasan ST
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 15 April - Kerajaan bersetuju menubuhkan Energy Exchange Malaysia (ENEGEM) bagi melaksanakan perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke negara jiran. 

 

Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (Petra) berkata, ini selaras dengan aspirasi peralihan tenaga negara serta komitmen Malaysia untuk menyokong inisiatif integrasi bekalan elektrik serantau melalui ASEAN Power Grid.

 

"Urusan perdagangan tenaga merentas sempadan menerusi platform ENEGEM ini akan dilaksanakan berpandukan "Guide for Cross-Border Electricity Sales (CBES)" terkini yang dikeluarkan oleh Suruhanjaya Tenaga," katanya dalam kenyataan media hari ini.

 

Petra dalam pada itu mempelawa pihak yang berkelayakan untuk menyertai proses bidaan pembelian bekalan elektrik hijau daripada sistem bekalan elektrik Malaysia untuk disalurkan ke sistem bekalan elektrik Singapura menerusi platform ENEGEM. 

 

ARTIKEL BERKAITAN: Sarawak tetap dapat bekalan elektrik mencukupi untuk kegunaan sendiri walaupun selepas mengeksport ke Singapura, Sabah menjelang 2032

 

tmbk
Perdagangan bekalan elektrik hijau rentas sempadan ke Singapura akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 MW.

 

Katanya, pembidaan bagi perdagangan bekalan elektrik hijau merentas sempadan ke Singapura ini akan dimulakan dengan pelaksanaan projek rintis berjumlah 100 megawatt (MW) menggunakan rangkaian infrastruktur sambung tara sedia ada antara Semenanjung Malaysia dan Singapura.

 

Jelas kementerian itu, skim perintis ini adalah terbuka kepada Pembida Tenaga Boleh Baharu (RE) yang mempunyai lesen penjanaan dan/atau lesen peruncitan bekalan elektrik untuk pasaran Singapura dan pembida yang berminat perlu berdaftar dengan Single Buyer untuk menyertai proses bidaan yang dilaksanakan.

 

"Pembida RE yang memohon untuk didaftarkan akan dinilai menerusi proses pra-kelayakan. 

 

"Mereka yang berjaya akan mendapat notifikasi untuk melakukan bidaan pembelian Bekalan Elektrik Hijau pada hari bidaan," ujarnya.

 

Kata Petra, pembida yang berjaya akan menandatangani Perjanjian Pembekalan Elektrik RE dengan Single Buyer untuk urus niaga bekalan elektrik hijau yang telah berjaya dibida.

 

"Pembida RE yang berminat boleh mendaftarkan hasrat penyertaan melalui laman web  Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air atau Single Buyer mulai 16 April 2024.

 

"PETRA yakin pelaksanaan bidaan melalui platform ENEGEM ini akan membolehkan Malaysia memperkukuhkan lagi kerangka kerja pembekalan elektrik merentas sempadan, di samping membuka peluang pembangunan serta usaha sama bidang RE yang lebih luas melalui perdagangan merentas sempadan antara negara ASEAN," katanya.- DagangNews.com