Sarawak tetap dapat bekalan elektrik mencukupi untuk kegunaan sendiri walaupun selepas mengeksport ke Singapura, Sabah menjelang 2032 | DagangNews Skip to main content

Sarawak tetap dapat bekalan elektrik mencukupi untuk kegunaan sendiri walaupun selepas mengeksport ke Singapura, Sabah menjelang 2032

Sarawak kini mengeksport 2 peratus daripada 5,745 MW tenaga elektrik ke Kalimantan Barat. Gambar Empangan Bakun - Buletin Kapit

KUALA LUMPUR 27 Nov — Eksport tenaga elektrik ke Singapura dan Sabah tidak akan menjejaskan bekalan untuk kegunaan domestik, kata Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Datuk Seri Julaihi Narawi hari ini.

 

Eksport kuasa ke Singapura dan Sabah, menjelang 2032, hanya membentuk 12 peratus atau 1,130 megawatt (MW) daripada anggaran 9,529 MW yang akan dijana oleh negeri itu.

 

“Ini bermakna menjelang 2032, berdasarkan unjuran, kita masih mempunyai kuasa elektrik yang mencukupi sebanyak 8,399 MW atau 88 peratus untuk kegunaan dan keperluan tempatan di Sarawak,” katanya dalam ucapan penggulungan di Dewan Undangan Negeri.

 

Beliau berkata ini termasuk margin rizab kira-kira 22 hingga 25 peratus.

 

Julaihi berkata Sarawak kini mengeksport 2 peratus daripada 5,745 MW tenaga elektrik ke Kalimantan Barat.


 

Datuk Seri Julaihi Narawi
             Datuk Seri Julaihi Narawi

 


Menurutnya, dengan eksport lebihan tenaga elektrik itu, Sarawak berpeluang menambah pendapatan bagi memperkasakan usaha pembangunan termasuk infrastruktur utiliti selaras dengan aspirasi Strategi Pembangunan Pasca Covid-19 2030 (PCDS 2030) dan menjadikan Sarawak sebagai hab tenaga boleh diperbaharui di rantau Asean.

 

“Selaras dengan PCDS 2030, sebanyak 15 peratus daripada pendapatan sektor elektrik Sarawak disasarkan diperoleh daripada pasaran antarabangsa melalui tenaga boleh diperbaharui,” katanya.

 

Beliau berkata unjuran permintaan untuk elektrik domestik, komersial dan industri dijangka meningkat kepada 6,600 Megawatt (MW) pada 2030.

 

“Daripada jumlah ini, 2,221 MW atau 34 peratus adalah daripada pengguna domestik, manakala baki 4,379 MW atau 66 peratus adalah pengguna di bawah Perjanjian Pembelian Tenaga (PPA) dan Perjanjian Pertukaran Tenaga (PEA),” kata Julaihi.

 

Beliau menambah beberapa projek pembinaan penjanaan kuasa baharu dan sistem talian penghantaran sedang dan akan dilaksanakan untuk memenuhi permintaan yang meningkat.

 

“Ini termasuk pembinaan Empangan Hidro Baleh, yang dijangka meningkatkan jumlah penjanaan kepada 8,290 MW apabila ia mula beroperasi sepenuhnya pada 2030,” katanya.


 

Vatang Ai
Empangan Batang Ai

 


Sejak 2016, Sarawak telah mengeksport tenaga elektrik ke Kalimantan Barat dengan had kapasiti (kapasiti puncak) sehingga 230 MW di bawah inisiatif kerjasama serantau BIMP-EAGA.

 

Beliau berkata selain itu, perjanjian jualan elektrik dengan Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) telah ditandatangani pada Ogos 2021 untuk membekalkan tenaga elektrik sebanyak 130MW.

 

Beliau berkata penjualan elektrik kepada Singapura menjelang 2032 telah pun dipersetujui antara kerajaan Malaysia dan kerajaan Singapura.

 

“Projek ini melibatkan pemasangan kabel dasar laut yang dianggarkan sepanjang 720 km dari Tondong, Sarawak terus ke Changi, Singapura,” katanya sambil menambah sambungan kabel dasar laut itu akan melalui koridor Muri-Midai, Indonesia.

 

Beliau berkata perjanjian berkaitan koridor Muri-Midai ditandatangani oleh Malaysia dan Indonesia pada 1983.

 

“Dianggarkan 80 peratus kabel akan merentasi koridor Muri-Midai, Indonesia manakala baki 20 peratus akan melalui perairan Malaysia dan Singapura,” katanya sambil menambah projek kabel itu akan ditaja jamin oleh Singapura. - DagangNews.com