KUALA LUMPUR 27 Dis - Oriental Interest Bhd (OIB) memperkukuh kestabilan kewangannya dengan jualan hadapan sebanyak RM585.5 juta, yang dijangka direalisasikan dalam tempoh tiga tahun akan datang.
Pengerusinya, Raja Puan Muda Kedah, Che Puan Muda Zaheeda Mohamad Ariff berkata, kedudukan jualan hadapan yang kukuh itu menonjolkan kemampuan kumpulan untuk menghadapi ketidaktentuan pasaran sambil mengekalkan pertumbuhan yang stabil.
"Dengan projek yang telah diperoleh, kelulusan pelan diberikan, pembiayaan disediakan dan kos pembinaan ditetapkan, OIB mampu melaksanakan komitmennya dan mendorong penciptaan nilai yang mampan," katanya dalam laporan tahunan syarikat yang difailkan kepada Bursa Malaysia.
Beliau menekankan, dengan pemilikan tanah strategik dan pasukan pengurusan berpengalaman, OIB berada pada kedudukan yang baik untuk menyesuaikan diri dengan perubahan keadaan pasaran.
"Penyesuaian ini adalah kunci untuk memastikan kejayaan berterusan, walaupun dalam persekitaran operasi yang tidak menentu.
"Model perniagaan OIB yang mengimbangi pelaburan dalam peluang baharu dengan penggunaan aset sedia ada, membolehkan kumpulan kekal fokus dalam penjanaan tunai sambil memberikan pulangan yang kukuh untuk pemegang saham," tambahnya.
Walaupun berdepan dengan cabaran ekonomi, kumpulan mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Ogos 2024 (FY24).
Pendapatan kumpulan meningkat kepada RM652.5 juta daripada RM534.3 juta pada FY23, manakala untung selepas cukai bertambah kepada RM101.8 juta berbanding RM96.6 juta pada tahun sebelumnya.
Jumlah aset OIB berkembang kepada RM1.8 bilion, disokong oleh rezab tunai sebanyak RM147.6 juta, sekali gus menunjukkan keupayaan kumpulan untuk menguruskan cabaran jangka pendek sambil melabur dalam pertumbuhan masa depan.
OIB berjaya melaksanakan pembinaan 1,714 unit kediaman sepanjang tahun ini dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM912 juta.
Selain itu, kumpulan turut melancarkan empat projek dan fasa baharu pembangunan sedia ada di beberapa lokasi utama.
OIB merancang untuk memperkenalkan projek dan fasa baharu dengan GDV sebanyak RM1.09 bilion, memperkukuhkan lagi kedudukannya sebagai pemaju hartanah terkemuka.
Che Puan Muda Zaheeda berkata, sejumlah RM585.5 juta dalam jualan belum ditagih memastikan ketelusan pendapatan dalam tiga tahun akan datang dan menegaskan ketahanan kewangan OIB.
"Dasar yang kukuh ini membolehkan kumpulan mengejar peluang baharu dengan keyakinan sambil mengekalkan kecekapan operasi dan nilai kepada pemegang saham," katanya. - DagangNews.com