KUALA LUMPUR 14 Ogos - Syarikat pembekal sarang burung, Enest Group Bhd yang disenaraikan di Pasaran LEAP Bursa Malaysia pada Ogos 2019 bercadang untuk memindahkan keseluruhan sahamnya ke Pasaran ACE.
Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, rasional pemindahan yang dicadangkan itu adalah untuk menyediakan syarikat akses kepada platform yang lebih besar untuk menyokong rancangan pengembangannya.
Enest terlibat dalam pemprosesan sarang burung mentah menjadi sarang burung yang boleh dimakan di Malaysia dan kini mengeksport ke China, Australia, Singapura dan Taiwan.
"Sebagai sebahagian daripada pemindahan yang dicadangkan, Enest Group akan melaksanakan tawaran awam permulaan (IPO) yang melibatkan tawaran awam sebanyak 131.3 juta saham, mewakili sehingga 22.59% daripada saham terbitan syarikat yang diperbesarkan sebanyak 581.25 juta saham.
"Sejumlah 116.25 juta saham baharu akan diterbitkan mewakili 20% daripada saham terbitan yang diperbesarkan, dan tawaran untuk penjualan 15.05 juta saham sedia ada daripada pemegang saham utama Tan Heng Guan dan Tan Teh Sheng, yang mewakili 2.59% daripada saham terbitan yang diperbesarkan," katanya.
Kumpulan itu berkata, harga IPO akhir akan ditentukan kemudian dan bagi tujuan pengumuman itu, ia telah mengandaikan harga bayangan IPO sebanyak 19 sen.
Berdasarkan ilustrasi harga IPO 19 sen sesaham dan jumlah yang diperbesarkan sebanyak 581.25 juta saham Enest dalam terbitan, gandaan harga perolehan adalah kira-kira 15.8 kali ganda, berdasarkan untung bersih sebanyak RM10.23 juta untuk bagi tempoh 12 bulan berakhir 31 Disember 2023.
Katanya, jumlah hasil kasar indikatif yang diperoleh dianggarkan sebanyak RM22.09 juta.
"Kumpulan itu berhasrat menggunakan hasil untuk membeli kilang, modal kerja, pembelian dan pemasangan saluran pengeluaran sarang burung botol serta pembayaran balik pinjaman bank.
"Cadangan itu dijangka siap pada suku kedua 2025," katanya.
M&A Securities dilantik sebagai penasihat kumpulan untuk cadangan dan penaja untuk pemindahan yang dicadangkan. - DagangNews.com