KUALA LUMPUR 30 Mei - Envictus International Holdings Limited telah memperbaharui Perjanjian Francais Berbilang Unit Antarabangsanya dengan Cajun Global LLC yang berpangkalan di Amerika Syarikat, bagi membangunkan dan mengendalikan restoran Texas Chicken di Malaysia dan Brunei, berkuat kuasa 20 Mei 2022.
Dengan pembaharuan perjanjian francais itu, kumpulan dijangka akan melaburkan sekurang-kurangnya RM230 juta bagi membuka 115 restoran Texas Chicken baharu menjelang 2030, termasuk penyertaan sulungnya ke dalam pasaran Sabah dan Sarawak.
Pembukaan restoran baharu dan prospek pertumbuhan yang mantap dijangka akan mewujudkan lebih banyak lagi peluang pekerjaan untuk rakyat Malaysia dan meningkatkan jumlah kakitangan syarikat itu kepada anggaran 6,000 pekerja menjelang 2030.
Kali pertama kumpulan Envictus dianugerahkan hak francais untuk rangkaian restoran perkhidmatan pantas (QSR) terkenal itu adalah pada Julai 2012, dan melancarkan restoran Texas Chicken pertama di Malaysia pada Januari 2013, menerusi anak syarikat milik penuhnya, Texas Chicken (Malaysia) Sdn Bhd.
Setakat ini, syarikat itu memiliki dan mengendalikan 85 restoran di seluruh Semenanjung Malaysia, melepasi komitmen awalnya untuk membuka 80 restoran dalam tempoh 10 tahun pertamanya.
Hampir 60% restoran Texas Chicken tertumpu di Lembah Klang, dan lebih separuh daripada restorannya yang sedia ada terletak di dalam pusat membeli-belah utama di seluruh negara.
Seterusnya, syarikat itu turut merancang untuk membina lebih banyak restoran pandu lalu dan akan mengembangkan perkhidmatan penghantarannya sebagai usaha untuk memberikan lebih banyak lagi kemudahan kepada para pengguna.
Pengerusi Eksekutif Envictus International Holdings Limited, Datuk Jaya Tan berkata, pembaharuan perjanjian francais itu adalah bukti keyakinan Cajun Global terhadap kepimpinan dan keupayaan kumpulannya dalam mengembangkan dan membangunkan jenama Texas Chicken di Malaysia.
"Dalam tempoh yang agak singkat, kami telah berjaya mengukuhkan kedudukan Texas Chicken sebagai salah satu rangkaian QSR hidangan ayam terkemuka di negara ini. Kami berbesar hati kerana diberi kepercayaan dan peluang untuk terus merealisasikan potensi jenama hebat ini sambil kami berusaha untuk membawanya ke satu tahap yang lebih tinggi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Ketua Pegawai Eksekutif dan Presiden Cajun Global, Joe Christina pula berkata, sebagai salah satu francaisi terbesarnya di Asia Tenggara, Envictus merupakan rakan usaha sama sejati dalam kerjasama mereka untuk mengembangkan jenama Texas Chicken.
"Kami gembira kerana kerjasama ini akan terus berkembang maju di Malaysia dan tidak lama lagi di Brunei. Kumpulan Envictus telah dianugerahkan dengan anugerah ‘Pemaju Terbaik’ pada 2019 oleh Cajun Global sebagai pengiktirafan ke atas komitmennya dalam usaha mengembangkan jenama Texas Chicken di Malaysia.
"Selain itu, Texas Chicken Malaysia turut menerima anugerah Perak dalam kategori “Restoran & Makanan Segera” pada Anugerah Jenama Putra 2020 dan 2021 yang mengukuhkan lagi reputasinya sebagai salah satu jenama pilihan pengguna di negara ini. Sememang jelas Envictus telah mempamerkan kecemerlangan dalam membangunkan dan mengendalikan jenama Texas Chicken kami di Malaysia," katanya.
Naib Presiden Kanan Pembangunan Strategik Antarabangsa Texas Chicken, Russ Sumrall berkata, pada 2020, Envictus telah dinobatkan sebagai “Pemaju Perdana” bagi jenama Texas Chicken berasaskan kepada prestasi cemerlang mereka dalam membangunkan restoran.
"Mereka benar-benar membawa cita rasa legenda Texas kepada pelanggan mereka. Kami sememangnya gembira, berbesar hati dan bersyukur kerana mereka telah memperbaharui komitmen mereka untuk terus melabur dan mengembangkan jenama Texas Chicken untuk beberapa tahun akan datang,” katanya.
Sempena ulang tahunnya yang ke-10 di Malaysia pada tahun hadapan, jenama itu merancang untuk meningkatkan pengalaman restoran khidmat segera ke satu tahap yang lebih tinggi dan membawakan cita rasa legenda Texas kepada lebih ramai lagi rakyat Malaysia. - DagangNews.com