EON Auto Mart pindah ke Pusat 3S baharu Mitsubishi Motors di Kuching | DagangNews Skip to main content

EON Auto Mart pindah ke Pusat 3S baharu Mitsubishi Motors di Kuching

Oleh ZULFADLI SHARIFUDIN

KUALA LUMPUR 1 Mac - Mitsubishi Motors Malaysia (MMM) bersama pengedar sah EON Auto Mart (EAM), berpindah ke bilik pameran 3S (Jualan, Servis dan Alat Ganti) baharu di Kuching, Sarawak.

 

MMM memaklumkan, ia adalah bilik pameran terbesar Mitsubishi Motors di Kuching yang terletak di Lot 852, Seksyen 64, Daerah Tanah Pekan Kuching.

 

Katanya, dengan keluasan binaan 18,000 kaki persegi, Pusat 3S berkenaan hadir dengan rupa yang segar dan selaras dengan identiti jenama Mitsubishi Motors, dengan mesej jenama global 'Drive Your Ambition'.

 

"Selain menempatkan ruang istirahat pelanggan yang selesa dengan WIFI dan sudut kanak-kanak, kedai itu dilengkapi dengan pusat servis yang serba lengkap dengan sembilan ruang servis yang sedia untuk setiap kereta Mitsubishi," katanya dalam kenyataan media di sini hari ini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif MMM, Shinya Ikeda berkata, langkah strategik itu adalah untuk memberi perkhidmatan kepada pelanggan dengan lebih baik kerana melihat potensi besar untuk pertumbuhan perniagaan di Sarawak, terutamanya untuk trak pikap Triton dan crossover tujuh tempat duduk Xpander. 

 

Di samping itu katanya, MMM terus memajukan pengembangan rangkaian pengedar mereka sambil berusaha secara progresif ke arah memperkenalkan model Mitsubishi Motors baharu di Malaysia.

 

"EON Auto Mart tidak asing lagi dalam keluarga Mitsubishi Motors dan telah menjadi rakan kongsi perniagaan dengan MMM sejak dua dekad lalu. 

 

 

mitsubishi

 

 

"EON Auto Mart mempunyai lapan bilik pameran Mitsubishi Motors di seluruh negara dan pengedar itu merupakan salah satu penyumbang utama kepada pencapaian MMM dengan Mitsubishi Xpander sebagai MPV bukan negara nombor 1," katanya.

 

Katanya, pihaknya yakin bahawa EON Auto Mart akan terus memberikan pengalaman pemilikan menyenangkan yang melebihi jangkaan.

 

EON Auto Mart, Kuching dibuka dari Isnin hingga Jumaat, pukul 8.30 pagi hingga 7 malam, manakala Sabtu, 8.30 pagi hingga 5.30 petang dan Ahad, 8.30 pagi hingga 5 petang. - DagangNews.com