NEW YORK 14 Ogos - Syarikat pemaju permainan video dan perisian Amerika Syarikat (AS), Epic Games bertindak mengfailkan saman terhadap Apple Inc. di mahkamah persekutuan terhadap peraturan yang dibuat iPhone.
Keputusan tersebut diambil susulan tindakan Apple yang mengeluarkan aplikasi permainan Fortnite dari App Store yang mendakwa wujud isu pelanggaran garis panduan pembayaran.
Epic Games dalam tuntutannya berkata, syarikat Apple kini telah berubah menjadi kuasa besar yang berusaha mengawal corak pasaran dengan menyekat persaingan dan ivonasi.
"Walaupun perkara tersebut ditentangnya dahulu, kini Apple lakukan perkara itu. Apple lebih besar dan kuat serta lebih merosakkan berbanding tindakan monopolinya pada tahun lalu," jelas Epic Games seperti dipetik Reuters hari ini.
Permainan video pertempuran Fortnite merupakan antara permainan video popular dalam kalangan remaja yang mula dilancarkan pada tahun 2017.
Saman yang difailkan Epic Games di mahkamah AS itu tidak berbentuk tuntutan wang, sebaliknya memohon mahkamah mengeluarkan perintah agar menghantikan pelbagai gerak kerja berkaitan App Store.
Epic Games juga melancarkan serangan maya terhadap Apple di media sosial melalui kempen #FreeFortnite termasuk parodi.
Kempen tersebut mengajak pengguna aplikasi permainan itu untuk meminta bayaran balik daripada Apple kerana hilang akses terhadap permainan Fortnite.
Sementara itu, Apple dalam satu kenyataan berkata, tindakan pihaknya membuang aplikasi Fortnite kerana syarikat Epic Games telah membuat kaedah pembayaran yang jelas melanggar garis panduan App Store.
Tindakan sama turut dilakukan oleh Google dengan mengeluarkan aplikasi Fortnite dari Play Storenya.
Menurut jurucakap Google, pihaknya mengalu-alukan perbincangan bersama Epic Games dan membawa semula Fortnite untuk kembali ke Google Play. - DagangNews.com