Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
[email protected]
KUALA LUMPUR 12 Nov. - Jangkaan perolehan sesaham (EPS) kumpulan MRCB-Quill Amanah Pelaburan Hartanah (REIT), (MQREIT) ditingkatkan sebanyak 13% hingga 20% bagi tahun kewangan 2020 hingga 2022.
CGS-CIMB Research berkata, peningkatan itu dibuat berdasarkan kepada empat faktor yang menjadi penilaian kumpulan berkenaan.
- Pendapatan sewa yang lebih tinggi pada separuh kedua 2020
- Pertambahan kadar pembalikan sewa purata sebanyak 1% berbanding 0% pada sebelumnya
- Margin pendapatan hartanah bersih (NPI) yang lebih tinggi iaitu 76% hingga 77% bagi tahun ramalan berbanding hanya 73% hingga 74% pada sebelumnya
- Kos kewangan yang lebih rendah susulan penyusunan semula kewangan bagi kertas komersial (CP) dan pinjaman berjangka (TL) untuk tempoh 2020.
Bagi tempoh sembilan bulan pertama 2020 (9M20), MQREIT berjaya mencatatkan peningkatan jumlah keuntungan bersih sebanyak 12% berbanding tahun sebelumnya.
Tambah CGS-CIMB Research, peningkatan keuntungan bersih itu didorong oleh bantuan sewa minimum pada suku ketiga 2020 dan kadar penghuni yang stabil sebanyak 91% pada akhir suku ketiga 2020.
Selain itu, kos operasi hartanah yang rendah dan kadar pembaharuan sewa yang baik sebanyak 90% pada akhir suku ketiga 2020 turut menyumbang kepada prestasi keuntungan berkenaan.
Dalam pada itu, dividen sesaham (DPS) yang telah disemak pada sebelum ini turut dijangka akan memberi nisbah pembayaran yang tinggi.
"DPS yang telah kami semak sebanyak 6.2 sen/6.4 sen/ 6.4 sen bagi tahun kewangan 2020/2021/2022 dijangka mendapat nisbah pembayaran sebanyak 90% yang akan diterjemah kepada hasil dividen yang lebih menarik sebanyak 7.9% hingga 8.3%.
"Hasil ini serta prestasi yang baik untuk tempoh sembilan bulan pertama mendorong peningkatan penarafan saham MQREIT kami kepada 'tambah' berbanding 'pegang' pada sebelum ini," jelas CGS-CIMB Research.
Dalam pada itu, CGS-CIMB Research turut meningkatkan harga sasaran sesaham (TP) MQREIT kepada RM0.85. - DagangNews.com