KUALA LUMPUR 13 Sept - Kuasa udara Bangladesh bakal berganda sekiranya negara tersebut memutuskan untuk membeli sama ada pesawat tempur Eurofighter Typhoon dan Dassault Rafale.
Perolehan pesawat tempur ini berikutan cadangan Tentera Udara Bangladesh (BAF) untuk memodenkan angkatan tenteranya di bawah Forces Goals 2030.
Di bawah rancangan itu, BAF telah pun memasukkan 16 pesawat tempur Chengdu J-7 dari China.
Selain itu, Bangladesh membuka tender untuk lapan pesawat tempur pelbagai peranan (MRCA) pada tahun kewangan 2017-2018.
Tender itu termasuk opsyen tambahan empat lagi pesawat pada perolehan fasa seterusnya.
BAF sebelum ini telah meminta kerajaan memperuntukkan kira-kira AS$3 bilion untuk perolehanan 16 buah pesawat bagi tahun kewangan 2021-22.
Bagaimana pun, rancangan pemodenan BAF tergendala disebabkan pandemik Covid-19 dua tahun lalu.
India juga mencuba peluang apabila menawarkan pesawat tempur ringan Tejas kepada Bangladesh, namun peluang dilihat tipis kerana pesawat Eropah lebih menarik perhatian.
Bangladesh berkemungkinan akan memilih pesawat buatan konsortium Eropah, Eurofighter Typhoon atau Dassault Rafale dari Perancis.
Ada yang berpendapat peluang Eurofighter Typohon lebih cerah memandangkan pesawat pesaingnya, Dassault Rafale digunakan Tentera Udara India.
India membeli 36 buah pesawat Dassault Rafale pada 2016 dengan kos AS$8.8 bilion manakala kontrak terbaru cadangan bagi 26 buah Rafale pula untuk tentera laut India..
Persaingan sengit antara pesawat Eurofighter Typhoon dan Dassault Rafale menyaksikan Presiden Perancis Emmanuel Macron melakukan lawatan ke Dhaka.
Ini merupakan julung-julung kali lawatan Presiden Perancis ke Bangladesh sejak 33 tahun.
Presiden Macron berada di India menghadiri sidang kemuncak G-20 apabila diputuskan bahawa beliau akan berada di Dhaka untuk lawatan dua hari bagi meneruskan hubungan dua hala antara kedua-dua negara.
Hubungan Perancis-Bangladesh telah menyaksikan peningkatan yang ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini dengan perdagangan dua hala antara kedua-dua negara bernilai lebih tiga bilion Euro.
Satelit pertama Bangladesh, Bangabandhu-1, dibuat oleh syarikat Perancis, Thales.
Dassault Rafale dan Eurofighter Typohon kerap bersaing dalam usaha untuk mendapatkan kontrak antarabangsa dengan beberapa negara.
Kedua-dua pesawat bersaing sengit pada program MRCA Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) enam tahun lalu dengan Eurofighter Typohon ketika dilihat hampir berjaya memikat Malaysia.
Bagaimanapun, rancangan untuk mendapatkan pesawat MRCA ditangguhkan sehingga tahun 2030 apabila TUDM memberi fokus pada pesawat tempur ringan dwifungsi (LCA).
Jadi, sekiranya Bangladesh memuktamadkan pembelian MRCA maka ini juga menyaksikan keupayaan tentera udara negara itu melangkah setapak ke hadapan berbanding Malaysia. - DagangNews.com