Evergreen Max Cash Capital sasar RM64.2 juta daripada IPO Pasaran ACE | DagangNews Skip to main content

Evergreen Max Cash Capital sasar RM64.2 juta daripada IPO Pasaran ACE

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 29 Ogos - Evergreen Max Cash Capital Berhad hari ini melancarkan prospektus kumpulan untuk tawaran awam permulaan (IPO) yang akan datang di Pasaran ACE Bursa Malaysia Securities Berhad.

 

IPO itu diunjurkan mengumpul RM64.2 juta melalui terbitan awam sebanyak 267.6 juta saham biasa baharu pada harga terbitan 24 sen sesaham.

 

Kumpulan itu akan menggunakan RM30 juta (46.7%) daripada hasil IPO untuk membiayai modal tunai tambahan perniagaan pajak gadai dan RM20 juta (31.1%) untuk membuka sehingga lima cawangan pajak gadai 'Pajaking' baharu di Kuala Lumpur, Selangor dan Pahang.

 

Baki hasil IPO sebanyak RM14.2 juta (22.2%) akan digunakan untuk pembayaran balik pinjaman bank, tujuan modal kerja kumpulan dan untuk membayar perbelanjaan penyenaraian.

 

Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan kumpulan, Datuk Low Kok Chuan berkata, menerusi pelancaran prospektus itu, pihaknya semakin hampir untuk menjadi syarikat tersenarai awam di Pasaran ACE Bursa Securities.

 

pajak

 

Beliau berkata, pelaksanaan IPO ini merupakan bahagian penting dalam strategi pertumbuhan jangka panjang kumpulan kerana ia akan membolehkan mereka mengumpul dana tambahan sebanyak RM64.2 juta sebahagian besarnya untuk membiayai pengembangan perniagaan pajak gadai syarikat itu.

 

"Pelan pengembangan ini seterusnya membolehkan kami mengembangkan skala perniagaan pajak gadai kami dan dengan itu, untuk menguasai bahagian pasaran yang lebih besar dan keterlihatan jenama," katanya.

 

Evergreen Max Cash Capital dijadualkan disenaraikan di Pasaran ACE Bursa Securities pada 12 September 2023.

 

Selepas penyenaraiannya di Pasaran ACE, kumpulan itu akan mempunyai permodalan pasaran sebanyak RM267.6 juta berdasarkan harga terbitan 24 sen sesaham dan modal saham terbitannya yang diperbesarkan sebanyak 1.11 bilion saham.

 

Mercury Securities merupakan penasihat utama, penaja, penaja jamin tunggal dan ejen penempatan tunggal bagi penyenaraian itu. - DagangNews.com