KUALA LUMPUR 1 April - ExecuJet MRO Services Malaysia telah berpindah ke kemudahan penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) bertaraf dunia yang dibina khas di Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah Subang.
Kemudahan MRO yang diperakui di peringkat antarabangsa ini mengukuhkan kedudukan Malaysia sebagai pusat MRO serantau dan menyerlahkan kepentingan Asia sebagai pasaran penerbangan perniagaan yang semakin berkembang.
Naib Presiden Wilayah Asia ExecuJet MRO Services, Ivan Lim berkata, kemudahan yang dibina khas ini menampilkan ciri-ciri baharu untuk menyokong aktiviti MRO, selain kalis masa hadapan.
Menurut beliau, hangar dan bengkel di kemudahan tersebut juga direka bentuk untuk mengoptimumkan aliran kerja.

"Hangar kami berkeluasan 105,000 kaki persegi boleh memuatkan sehingga 15 jet perniagaan sederhana dan besar secara serentak, termasuk Dassault Falcon 6X dan Falcon 10X kabin ultra-besar.
"Kemudahan kami sebelum ini di Lapangan Terbang Subang adalah lebih kecil dan hangar itu pada asalnya direka untuk tempat letak pesawat berbumbung,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Berkeluasan 149,500 kaki persegi, pusat MRO milik ExecuJet itu merupakan kemudahan penyelenggaraan penerbangan perniagaan terbesar di Lapangan Terbang Subang.
Kemudahan milik anak syarikat Dassault Aviation, pengeluar pesawat Falcon itu termasuk bengkel, ruang penyimpanan, pejabat untuk kakitangan dan pelanggan, bilik latihan serta kawasan rehat.
Kemudahan yang dibina khas ini menawarkan pelanggan perkhidmatan penuh MRO dengan jenis pesawat yang dikendalikan adalah dari Dassault Aviation, Bombardier, dan Gulfstream.
Ivan berkata, industri penerbangan perniagaan di Asia, khususnya Asia Tenggara telah menyaksikan pertumbuhan kukuh yang memacu permintaan untuk perkhidmatan MRO.
Katanya, kemudahan lebih besar yang dibina khas di Lapangan Terbang Subang membolehkan pihaknya memenuhi pertumbuhan dalam pasaran penerbangan perniagaan sekali gus mengembangkan keupayaan MRO ExecuJet.
ARTIKEL BERKAITAN: Pembangunan LTSAAS Subang penting kepada daya saing hab aeroangkasa Malaysia, elak tertinggal berbanding Singapura
"Elemen reka bentuk penjimatan tenaga hangar baharu termasuk tingkap besar, membolehkan lebih banyak cahaya semula jadi; Lampu LED; kipas berkelajuan rendah volum tinggi untuk penyejukan; sistem suria atas bumbung 85kW dan tangki air untuk menuai air hujan," jelasnya.

Sementara itu, Naib Presiden Kanan Dassault Aviation, Jean Kayakis berkata, sepanjang setengah dekad yang lalu, pihaknyta telah menggandakan kapasiti sokongan global kami dan memodenkan keupayaan MRO dengan ketara untuk perkhidmatan pelanggan di seluruh dunia.
“Kami kini mempunyai lebih daripada 60 lokasi perkhidmatan dan 15 pusat pengedaran di seluruh dunia, bersama-sama dengan GoTeams yang diperlukan untuk menyokong pesawat di lapangan 24/7 di mana sahaja mereka berada.
"Ini adalah sebahagian daripada strategi yang bertujuan untuk memastikan kami sedekat mungkin dengan pelanggan kami dan menawarkan semua perkhidmatan yang diperlukan untuk memaksimumkan masa dan nilai armada Falcon mereka,” jelasnya.- DagangNews.com








