Pembangunan LTSAAS Subang penting kepada daya saing hab aeroangkasa Malaysia, elak tertinggal berbanding Singapura | DagangNews Skip to main content

Pembangunan LTSAAS Subang penting kepada daya saing hab aeroangkasa Malaysia, elak tertinggal berbanding Singapura

ExecuJet antara syarikat terkemuka yang beroperasi di hab aeroangkasa Subang.
Oleh M. HERMAN HAMID

KUALA LUMPUR 20 Mac - Pelan Penjanaan Semula Lapangan Terbang Subang (SARP) yang bakal siap sepenuhya pada 2027 dirangka bagi memastikan industri aeroangkasa Malaysia tidak ketinggalan berbanding Singapura dan negara serantau lain.

 

Justeru menerusi SARP yang dibangunkan anak syarikat Malaysia Airports, KLIA Aeropolis Sdn Bhd (KASB), daya saing hab aerongkasa di kawasan Lapangan Terbang Sultan Abdul Aziz Shah (LTSAAS) Subang akan dipastikan setanding Taman Aeroangkasa Seletar, Singapura dan Lapangan Terbang Antarabangsa U-Tapao Thailand.

 

Pengurus Besar KASB, Randhill Singh berkata, dijangkakan sebanyak 124 industi bakal beroperasi di Subang apabila SARP siap kelak yang menjana pendapatan berjumlah RM216.6 bilion atau RM8.7 bilion setahun kepada ekonomi negara dalam tempoh 25 tahun akan datang.

 

randhill
Randhill Singh (tengah) bersama Pengurus Besar Penyenggaraan ExecuJet, Suniljit Singh (kiri) memberi penerangan kepada media berhubung operasi syarikat MRO itu di Subang. 

 

Katanya, kajian sebuah badan penyelidikan juga menunjukkan pendapatan yang dijana di SARP bersamaan 1% daripada Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Selangor.

 

"Kita juga jangkakan LTSAAS dan kawasan sekitarnya akan ditransformasi sebagai hab ekonomi dan sosial. Pelbagai pelaburan baru akan dapat disaksikan yang bakal menaikkan pendapatan dan perniagaan warga setempat," katanya.

 

Beliau ditemui pada sesi lawatan tapak SARP bersama Malaysia Airports dan media di LTSAAS Subang.

 

Mengenai 8,000 peluang pekerjaan yang bakal dijana menerusi projek ini, Randhill berkata, lebih 50% pekerjaan tersebut terdiri daripada tenaga separuh mahir dan tenaga mahir.

 

ltsaas

 

Katanya, pekerjaan-pekerjaan yang akan ditawarkan ini adalah berkualiti tinggi untuk direbut lulusan intitusi pengajian tinggi dan institusi kemahiran negara.

 

"Tidak terkecuali, terdapat lebih 3,000 peluang pekerjaan untuk tenaga bukan mahir yang mana ini semua peluang kepada warga tempatan untuk mengisinya," jelasnya.

 

Antara syarikat yang beroperasi di LTSAAS ialah General Electric (GE), Airbus Helicopters, ExucuJet (Dassault Aviation), Leonardo Helicopters selain beberapa syarikat Peringkat 1 dan 2 serta antarabangsa termasuk Spirit Aerosystems, Collins Aerospace dan TP Aerospace.

 

Sementara itu, menjawab soalan media sama ada lebih banyak premis perniagaan akan dibina sesuai dengan pertambahan penumpang yang diunjur berjumlah 8 juta orang pada 2030, Randhill berkata, perkara itu akan dilakukan sesuai dengan keperluan penumpang seperti premis minuman dan makanan (F&B).

airbus
Hab aeronangkasa di LTSAAS Subang telah menarik pelbagai syarikat besar beroperasi yang menawarkan pelbagai peluang pekerjaan kepada rakyat Malaysia.

 

"Bagaimanapun ciri LTSAAS sebagai sebuah lapangan terbang bandar akan kekal iaitu pergerakan penumpang yang mudah dengan tempoh masuk dan keluar yang singkat," katanya.

 

Berdasar laporan media sebelum ini, pelan pembangunan semula LTSAAS yang bermula pada 2022 bakal memberi tambahan ruang sekitar lapan juta kaki persegi atau kira-kira 300 peratus daripada kapasiti semasa lapangan terbang itu.

 

Ini sekali gus melengkapkan matlamat sebahagian inisiatif Malaysia Airports menjadikan Malaysia sebagai hab penerbangan di rantau ini.

 

lts

 

Pelan induk pembangunan semula LTSAAS meliputi sekitar 40 hingga 50 peratus daripada kira-kira 404.7 hektar tanah yang dimiliki Malaysia Airports di LTSAAS bagi pembangunan industri di kawasan berkenaan.

 

Projek itu membabitkan tiga segemen utama iaitu lapangan terbang bandar; perniagaan penerbangan; dan ekosistem aeroangkasa.

 

MAHB memperuntukkan pelaburan RM1.3 bilion dalam tempoh lima tahun bagi pembangunan semula LTSAAS dengan pelaburan itu dibahagikan kepada dua bahagian iaitu RM1 bilion bagi membangunkan kemudahan dan baki RM300 juta lagi bagi pembangunan infrastruktur asas seperti laluan masuk, tempat letak kenderaan serta pusat makanan dan minuman (F&B).- DagangNews.com