Fajarbaru terima kontrak pembangunan Residensi Cemara di Presint 11, Putrajaya dengan GDV RM192 juta | DagangNews Skip to main content

Fajarbaru terima kontrak pembangunan Residensi Cemara di Presint 11, Putrajaya dengan GDV RM192 juta

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 24 Jan - Fajarbaru Builder Group Berhad menerusi Fajarbaru Land (M) Sdn. Bhd. menerima surat anugerah (LOA) daripada Perbadanan Putrajaya bagi membangunkan Residensi Cemara di Presint 11 dengan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM192 juta. 

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, pembangunan Residensi Cemara merangkumi pembinaan 480 unit Residensi Madani dan 320 unit Residensi Wilayah.

 

"Pembangunan itu adalah bagi tempoh 36 bulan bermula dari tarikh semua prasyarat dipenuhi dan perjanjian pembangunan ditandatangani antara Pebadanan Putrajaya dan Fajarbaru Land," katanya.

 

Katanya, pembangunan tersebut dijangka menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2025 dan seterusnya.

 

Pembangunan itu juga dijangka tidak memberi kesan material ke atas modal saham dan pegangan saham pemegang saham yang utama dalam Fajarbaru Builder Group.

 

Baru-baru ini, nilai kontrak fasa perancangan pembangunan semula kemudahan tentera di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) di Butterworth, Pulau Pinang yang diraih kumpulan ini disemak semula kepada RM16.26 juta berbanding RM7.36 juta.

 

Semakan itu untuk menyediakan laporan reka bentuk skematik 50% dalam fasa penting perancangan dan untuk menangguhkan tarikh kelulusan fasa penghantaran.

 

Pihak dalam kontrak telah bersetuju dengan semakan dan menandatangani surat ikatan pindaan (DOA) pada 22 Disember lalu untuk meminda kontrak itu.  - DagangNews.com