Faktor domestik penyumbang kenaikan inflasi, situasi mungkin berpanjangan | DagangNews Skip to main content

Faktor domestik penyumbang kenaikan inflasi, situasi mungkin berpanjangan

Inflasi juga boleh disebabkan oleh peningkatan permintaan yang merupakan isu domestik semata-mata. - Gambar ANDIKA FEBRIAN
Oleh MOHAMED MD DOM

KUALA LUMPUR 25 Julai – Peningkatan Indeks Harga Pengguna (IHP) Jun 2022 sebanyak 3.4% kepada 127.4 mata berbanding 123.2 mata pada bulan yang sama tahun sebelumnya menunjukkan bahawa kenaikan harga barangan bukan sahaja disebabkan oleh faktor kejutan bekalan antarabangsa tetapi turut disumbang oleh faktor domestik serta permintaan pengguna.

 

"Pada awalnya saya berpendapat bahawa inflasi yang berlaku adalah disebabkan oleh kejutan bekalan dari luar dan telah faktor ini telah diambil kira dalam angka inflasi pada separuh tahun pertama tahun ini.

 

“Bagaimanapun setelah melihat angka inflasi bagi Jun 2022, ia menggambarkan bahawa inflasi ini juga berlaku disebabkan oleh faktor domestik serta permintaan pengguna," kata pakar ekonomi Dr Nungsari Radhi.

 

Beliau menjelaskan bahawa gangguan bekalan terjadi disebabkan oleh faktor luaran seperti kenaikan harga kerana gangguan rantaian bekalan yang didorong oleh konflik Rusia-Ukraine ataupun penutupan dan penyekatan kerana perang China.

 

"Itu berlaku pada suku pertama dan saya fikir mereka telah diambil kira dalam angka inflasi sebelumnya.

 

“Inflasi juga boleh disebabkan oleh peningkatan permintaan yang merupakan isu domestik semata-mata.

 

"Sebahagian daripada inflasi ini boleh disebabkan oleh faktor tersebut, ataupun mungkin isu domestik serta isu pengeluaran," jelas beliau lagi.


 

Dr Nungsari Radhi
           Dr Nungsari Radhi

 


Nungsari berkata, memandangkan kadar inflasi masih meningkat, mungkin terdapat juga tekanan dalam negeri dan permintaan dan ia ditambah dengan peningkatan kadar inflasi dunia yang masih meningkat.

 

Jabatan Perangkaan Malaysia memaklumkan, kenaikan ini melepasi purata inflasi bagi tempoh Januari 2011 hingga Jun 2022 iaitu 1.9%.

 

Sementara itu, firma penyelidikan CGS-CIMB dan RHB Research mengaitkan inflasi yang lebih tinggi disebabkan oleh kenaikan harga makanan.

 

CGS-CIMB berkata dua komponen yang memacu IHP Jun adalah makanan dan pengangkutan dan bagi kategori makanan, daging segar, terutamanya ayam adalah penyebab utama, meningkat sebanyak 13.5% tahun-ke tahun (3.0% bulan-ke-bulan), rekod peningkatan yang tidak dilihat sejak sekurang-kurangnya sedekad lalu.

 

"Ini diburukkan lagi oleh kenaikan harga telur (13% tahun-ke tahun; 22 Mei: 16.3% bulan-ke-bulan) dan tekanan inflasi berdasarkan peratusan bulan ke bulan dilihat akan meningkat dalam tempoh terdekat sebelum berkurangan apabila kita memasuki suku keempat tahun ini," katanya lagi.

 

RHB Research juga menyemak unjuran inflasi IHP utama 2022 kepada 3.2% tahun-ke tahun daripada 2.85% kerana momentum inflasi semakin meningkat dan inflasi IPH utama boleh meningkat sekitar 4.5% hingga 5.0% pada September. – DagangNews.com