FAMA beli lebih RM9 juta hasil pertanian | DagangNews Skip to main content

FAMA beli lebih RM9 juta hasil pertanian

 Che Abdullah (tengah) menyampaikan Sumbangan MAFI Prihatian kepada 80 orang petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin, Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, semalam.

Che Abdullah (tengah) menyampaikan Sumbangan MAFI Prihatian kepada 80 orang petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin, Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, semalam.

 

Oleh MUHAMMAD ARIEF CHE SOH
arief@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 8 Julai - Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) membuat belian secara langsung produk pertanian bernilai RM9,757,932 bagi tempoh Januari hingga Jun 2021.

 

Jumlah pembelian tersebut melibatkan sebanyak 5,557 metrik tan (MT) produk pertanian daripada golongan petani.

 

Timbalan Menteri Pertanian Dan Industri Makanan II, Datuk Che Abdullah Mat Nawi berkata, pembelian secara langsung merupakan salah satu peranan FAMA dalam khidmat pemasaran selain pengaturan pasaran.

 

"Bagi tempoh Januari hingga Jun 2021 FAMA telah membuat belian secara langsung sebanyak 5,557 MT dengan nilai RM9,575,932. 

 

"Manakala pengaturan pasaran adalah sebanyak 15,798 MT dengan nilai RM27,223,279," jelas beliau.

 

Belian secara langsung merupakan aktiviti pembelian hasil pertanian oleh Pusat Operasi FAMA daripada usahawan tani. 

 

Dalam pada itu, pengaturan pasaran pula melibatkan bantuan FAMA dalam penyediaan luang pasaran dan pemadanan perniagaan usahawan tani dengan pihak 
swasta/persendirian.

 

Semalam, Che Abdullah yang Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) melalui FAMA menyerahkan bantuan MAFI Prihatin kepada 80 orang petugas barisan hadapan di Pusat Pemberian Vaksin, Dewan Sri Tunjong, Jabatan Pendidikan Negeri Kelantan, Kota Bharu, Kelantan.

 

Sumbangan yang berbentuk hasil pertanian seperti sayur-sayuran dan buah-buahan itu merupakan kesinambungan program MAFI Prihatin yang bertujuan membantu meringankan beban rakyat yang terkesan akibat COVID-19. 

 

"Sejak pelaksanaan MAFI Prihatin pada 27 Mei lalu sehingga 5 Julai 2021, seramai 21,802 orang telah menerima manfaat yang terdiri daripada frontliners, badan kebajikan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO) di 82 lokasi seluruh negara dengan jumlah keseluruhan sebanyak 37.51 metrik tan makanan telah disalurkan. 

 

"FAMA melalui MAFI Prihatin juga telah membantu 425 usahawan tani dalam memasarkan 44 jenis hasilan pertanian dan produk mereka yang mengalami kesukaran dalam menjalankan aktiviti pemasaran semasa tempoh pelaksanaan PKP ‘Total Lockdown’," katanya.

 

Bagi program MAFI Prihatin di Kelantan, seramai 716 penerima manfaat yang terdiri daripada frontliners, badan kebajikan dan NGO merangkumi lapan lokasi seluruh Kelantan dengan jumlah keseluruhan sebanyak 2.9 metrik tan sayur-sayuran dan buah-buahan. - DagangNews.com