FAMA Perak sasar RM1 juta menerusi program Jualan Ramadan Madani  | DagangNews Skip to main content

FAMA Perak sasar RM1 juta menerusi program Jualan Ramadan Madani 

Program Jualan Ramadan Madani turut menawarkan pengurangan harga lima hingga 10% bagi komoditi terpilih.
Oleh ZAKI SALLEH 

GOPENG 23 Mac - Jualan sehingga RM1 juta disasarkan pada program Jualan Ramadan Madani kelolaan Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) melibatkan 12 lokasi di Perak.

 

Program Jualan Ramadan Madani bertujuan memberi ruang pasaran kepada pengguna bagi mendapatkan barangan keperluan pada harga berpatutan.

 

Bagi para usahawan pula, mereka dapat memasarkan produk serta jaminan kepada rakyat bahawa barangan keperluan bagi menyambut Ramadan mencukupi.

 

Agrobazar Semanggol, Trong, Pasar Tani Tapah, Pasar Tani Tanjung Malim dan Pasar Tani Gerik antara lokasi bagi jualan tersebut yang diadakan sebelum dan pada minggu pertama Ramadan.

 

Pengarah FAMA Perak, Noorsham Ramly berkata, aktiviti jualan ini termasuk jualan terus dari ladang yang memudahkan pengguna mendapatkan bekalan semasa Ramadan.

 

Menurut beliau, turut ditawarkan pengurangan harga lima hingga 10% bagi jualan terpilih dan jualan 'Happy Hour'.

 

"Program Jualan Ramadan Madani merupakan kesinambungan pada program jualan tahunan khas FAMA setiap kali menjelang Ramadan.

 

 

fama
Noorsham Ramly (kiri) bersama Pengerusi Jawatankuasa Perladangan, Pertanian dan Industri Makanan negeri, Datuk Mohd Zolkafly Harun semasa merasmikan Program Jualan Ramadan Madani di Pasar Tani Tapah, Perak baru-baru ini.

 

 

"Produk yang dipasarkan adalah barang keperluan isi rumah seperti daging, ayam, sayur, barang runcit dan produk industri kecil sederhana seperti serunding serta kerepek.

 

"Bersesuaian dengan Ramadan, kita turut mengadakan aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong-royong untuk diagihkan kepada pengunjung," ujarnya.

 

 

fama
Aktiviti jualan yang diadakan sebelum dan pada minggu pertama Ramadan memudahkan pengguna mendapat bekalan.

 

 

Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan melalui FAMA mengadakan program Jualan Ramadan Madani di 103 outlet peruncitan terpilih seluruh negara.

 

Antaranya seperti di pasar tani, pasar tani kekal dan Pusat Transformasi Luar Bandar (RTC).

 

 

fama
Aktiviti memasak bubur lambuk secara gotong-royong diadakan oleh peniaga untuk diagihkan kepada pengunjung.

 

 

Jelas Noorsham, FAMA negeri dengan kerjasama usahawan akan memastikan ketersediaan bekalan agromakanan seperti telur ayam, ayam, ikan, sayur-sayuran dan buah-buahan.

 

Katanya, ini termasuklah komoditi lain yang mudah diperolehi melalui rangkaian outlet peruncitan FAMA seperti di pasar tani, Agrobazaar Rakyat dan lain-lain. - DagangNews.com