Farm Fresh dijangka berdepan tekanan margin akibat kos susu mentah lebih tinggi | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh dijangka berdepan tekanan margin akibat kos susu mentah lebih tinggi

Oleh ZUNAIDAH ZAINON

KUALA LUMPUR 25 Ogos - CGS-CIMB Research menurunkan penarafan saham Farm Fresh Bhd. kepada 'pegang' berbanding 'tambah' sebelum ini dengan harga sasaran lebih rendah pada RM1.60 daripada RM1.83 sesaham susulan prestasinya yang lebih lemah daripada jangkaan. 

 

Firma itu menjangkakan margin syarikat tenusu yang baru disenaraikan Mac lalu itu akan terus berada dalam tekanan disebabkan kos susu mentah yang lebih tinggi pada masa akan datang meskipun harga jualan dinaikkan bagi memindahkan kos input yang tinggi.

 

Ia mendapati harga susu di Australia bagi tempoh Julai 2022 hingga Jun 2023 dianggar meningkat 30% tahun ke tahun dan ini akan menyaksikan harga susu mentah yang lebih tinggi dari negara tersebut. 

 

"Oleh itu, kami menjangkakan Farm Fresh akan berdepan tekanan margin, dengan kumpulan cuba untuk menanganinya dengan menaikkan harga jualan (RTD sejuk di Malaysia meningkat 5% mulai Julai 2022 dan 10% di Singapura mulai Ogos 2022). 

 

"Malah, kumpulan juga meningkatkan pengeluaran susu secara dalaman bagi mengurangkan kebergantungan kepada bekalan susu mentah dan mendorong pengeluaran sedia ada," katanya dalam nota kajian hari ini. 

 

Dalam laporan kewangan suku pertama yang diumumkan semalam, Farm Fresh berkata, persekitaran operasi kekal mencabar berikutan kos input lebih tinggi, dengan kumpulan itu mengambil langkah menaikkan harga untuk produk RTD sejuknya di Malaysia dan Singapura.

 

Pada suku pertama berakhir 30 Jun 2022, untung bersihnya susut 21% kepada RM15.24 juta daripada RM19.21 juta yang direkodkan bagi tempoh sama tahun sebelumnya disebabkan perbelanjaan berkaitan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) dan kredit cukai yang lebih rendah.

 

Kumpulan itu menanggung perbelanjaan RM2.1 juta berkaitan ESOS manakala kredit cukainya lebih rendah kerana pendapatan cukai tertunda terutamanya daripada kerugian anak syarikat Australia merosot pada tempoh berkenaan. 

 

Pendapatan bagaimanapun meningkat hampir 7% kepada RM144.02 juta daripada RM134.78 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya dipacu hasil operasi di Malaysia yang lebih baik, jualan produk RTD dan pelancaran produk baharu.

 

Namun, CGS-CIMB menjangkakan Farm Fresh akan merekodkan jumlah jualan yang lebih kukuh bagi tahun kewangan berakhir 31 Mac 2023 (FY23). 

 

Katanya, jualan susu di peringkat domestik akan dipacu oleh pelancaran produk baharu, harga susu UHT yang lebih rendah pada suku ketiga FY22 dan susu tumbesaran cecair (akhir suku ketiga FY22).

 

"Selain itu, Farm Fresh juga akan mendapat manfaat daripada penyambungan semula program susu sekolah kebangsaan pada 2022, yang mana ia telah memperoleh beberapa kontrak.

 

"Kami juga menjangkakan jualan eksport yang lebih tinggi pada masa hadapan, daripada rancangan pengembangannya di peringkat serantau," jelasnya. 

 

Secara keseluruhan, firma itu mengurangkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) bagi FY23 hingga FY25 sebanyak 13.2% hingga 17.3% berikutan kos input dan ESOS yang lebih tinggi. 

 

"Walaupun kami menyukai Farm Fresh sebagai proksi yang kukuh kepada permintaan yang semakin meningkat untuk produk susu segar di Asia, tetapi kami percaya penilaian semasa sebahagian besarnya telah diambil kira dalam faktor ini, di tengah-tengah prospek pertumbuhan pendapatan yang lebih lemah daripada jangkaan (CAGR 3 tahun sebanyak 16.7%, daripada 24% sebelumnya)," katanya. 

 

Setakat 9.52 pagi, harga sahamnya susut 3 sen atau 1.8% kepada RM1.64 dengan 2.53 juta saham diniagakan. - DagangNews.com