Farm Fresh diunjur catat pendapatan lebih kukuh pada 3QFY4 didorong penurunan kos susu tepung penuh – Maybank IB | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh diunjur catat pendapatan lebih kukuh pada 3QFY4 didorong penurunan kos susu tepung penuh – Maybank IB

Oleh DIYANA ISAMUDIN

KUALA LUMPUR 23 Jan - Maybank Investment Bank (Maybank IB) percaya Farm Fresh Berhad berada di landasan untuk mencatatkan pendapatan lebih kukuh suku ke suku pada suku ketiga tahun kewangan 2024 (3QFY24) yang berakhir pada 31 Disember 2023 berdasarkan jangkaan penurunan kos susu tepung penuh dan permintaan produk yang berdaya tahan.

 

“Rancangan kumpulan itu untuk mengembangkan pengeluaran kepada produk tenusu lain (seperti susu tumbesaran cecair, ais krim, mentega) juga membuka peluang pertumbuhan pendapatan baharu dalam jangka panjang,” ulasnya dalam nota penyelidikan hari ini.

 

Jelasnya, ini didorong oleh usaha Farm Fresh untuk memanfaatkan momentum jualan selanjutnya bagi susu cair dan produk tenusu sedia ada syarikat dan permintaan yang semakin meningkat untuk pelancaran produk baharu.

 

Maybank IB mendedahkan bahawa penambahan barisan pemprosesan dan pembungkusan produk yang akan dipasang di kemudahan Muadzam Shah, Larkin dan Taiping, serta hab pengilangan baharu di Bandar Enstek yang dijadualkan siap dibina pada suku keempat tahun ini meningkatkan jumlah kapasiti pengeluaran tahunan (kecuali ais krim) kira-kira 17% kepada 200.7 juta liter apabila semuanya siap pada penghujung tahun kewangan 2025 (FY25), iaitu Mac 2025.

 

Di samping itu, firma penyelidikan tersebut berkata Farm Fresh kini sedang bersedia untuk melancarkan produk aiskrim berbungkus pertamanya pada April 2024.

 

Secara berasingan, syarikat itu sedang dalam proses memasang barisan pengeluaran mentega di kemudahannya di Taiping dan menyasarkan untuk memasarkan produk mentega dalam separuh kedua tahun ini.

 

Bagi jangka pendek, Maybank IB percaya pertambahan margin kumpulan akan berlaku disokong oleh kos serbuk susu penuh (WMP) lebih rendah bermula 3QFY23 dan seterusnya, memandangkan ia telah menggunakan sepenuhnya inventori WMP berkos tingginya pada separuh pertama tahun kewangan 2024 (1HFY24).

 

“Purata harga jualan WMP juga dijangka mengikut julat (AS$3,300 hingga AS$3,500 setiap tan) dalam tempoh terdekat. FFB telah membeli terlebih dahulu keperluan WMP pada julat harga antara AS$3,000 hingga AS$3,300 setiap tan untuk penghantaran sehingga Jun 2024,” tambahnya.

 

Firma itu mengekalkan unjuran pendapatan kumpulan berkenaan dan saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) RM1.65 sesaaham berdasarkan nisbah harga kepada pendapatan (PER) tahun kalendar 2025 (CY25) 24 kali.

 

Saham Farm Fresh didagang 4 sen atau 2.9% pada RM1.42 setakat pukul 10:56 pagi ini, memberikannya permodalan pasaran sebanyak RM2.7 bilion. - DagangNews.com