Farm Fresh rancang perkenal produk aiskrim baharu pada 2QFY25 bagi mengembangkan pasaran - TA Securities | DagangNews Skip to main content

Farm Fresh rancang perkenal produk aiskrim baharu pada 2QFY25 bagi mengembangkan pasaran - TA Securities

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 4 Julai - Farm Fresh Bhd merancang memperkenalkan produk aiskrim pada suku kedua tahun kewangan 2025 (2QFY25) bagi mengembangkan pasaran baharu.

 

TA Securities berkata, rancangan itu adalah bagi memanfaatkan sinergi pengambilalihan Inside Scoop dan Sin Wah Ice Cream sebelum ini.

 

Katanya, pada FY24, pendapatan daripada Inside Scoop dan SinWah Ice Cream berjumlah RM50.4 juta, menyumbang 6.2% daripada hasil keseluruhan kumpulan.

 

"Memandang ke hadapan, kumpulan itu juga bercadang melancarkan beberapa produk baharu seperti susu berperisa baharu, mentega dan susu kultur bagi memberi pelbagai pilihan kepada pengguna," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu menjangkakan, pendapatan teras kumpulan mencapai kadar pertumbuhan tahunan kompaun (CAGR) lima tahun sebanyak 30.6% dari 2019 hingga 2025.

 

Katanya, pertumbuhan pendapatan yang teguh ini dijangka didorong oleh peningkatan permintaan, gabungan produk yang meningkatkan margin, dan inisiatif berterusan bagi memperkenalkan produk baharu.

 

Terdahulu, kumpulan itu merekodkan pendapatan tertinggi sebanyak RM810.4 juta bagi FY24 hasil sumbangan produk baharu, jumlah jualan lebih tinggi daripada saluran pengedaran, restoran dan kafe (HORECA) serta produk UHT serta sumbangan daripada Inside Scoop dan Sin Wah Ice Cream.

 

Bagi 4QFY24, kumpulan itu mencatatkan peningkatan empat kali ganda dalam keuntungan bersih kepada RM23.93 juta daripada RM4.89 juta pada tahun sebelumnya.

 

Syarikat itu mencatatkan pendapatan suku tahunan tertingginya pada RM215.0 juta daripada RM161.36 juta tahun lepas, yang mewakili peningkatan sebanyak 33.3% berbanding suku yang sama tahun sebelumnya.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kumpulan itu bagaimanapun erdepan beberapa risiko termasuk potensi kenaikan harga komoditi dan sentimen pengguna yang lebih lemah daripada jangkaan hasil daripada jangkaan pelaksanaan pelarasan subsidi bahan api pada separuh kedua tahun ini.

 

"Kami mengekalkan saranan 'beli' denga harga sasaran (TP) RM1.97 sesaham," katanya. - DagangNews.com