Fasa 2 BKC akan disalurkan Khamis ini dengan peruntukan sebanyak RM300 juta - PM | DagangNews Skip to main content

Fasa 2 BKC akan disalurkan Khamis ini dengan peruntukan sebanyak RM300 juta - PM

 

NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR
azan@dagangnews.com

 

KUALA LUMPUR 23 Nov - Kerajaan akan membuat pembayaran Bantuan Khas COVID-19 (BKC) Fasa 2 Khamis ini dengan peruntukan sebanyak RM300 juta.

 

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bayaran kedua itu akan melibatkan seramai 700,000 penerima isi rumah, individu bujang dan warga emas yang tergolong dalam golongan miskin.

 

Beliau berkata, pembayaran Fasa 1 BKC telah selesai dibuat September lalu dengan peruntukan RM3.1 bilion dan memanfaatkan hampir 10 juta penerima di seluruh negara. 

 

"Ingin saya tegaskan kerajaan sentiasa peka terhadap keluh-kesah rakyat dan berharap pembayaran BKC ini mampu meringankan beban rakyat yang masih terkesan akibat pandemik COVID-19.

 

"Bagi memastikan kesejahteraan Keluarga Malaysia, kerajaan juga akan terus komited memastikan bantuan yang disediakan dapat disalurkan secara berkesan," katanya dalam satu kenyataan.

 

Ismail Sabri berkata, pembayaran seterusnya iaitu Fasa 3 BKC akan dilaksanakan mengikut jadual yang telah ditetapkan iaitu pada bulan Disember ini melibatkan peruntukan RM1.2 bilion untuk 3.8 juta penerima isi rumah kategori miskin dan B40.

 

"BKC merupakan sebahagian daripada inisiatif Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH), selain bayaran tambahan kepada pakejrangsangan ekonomi.

 

"Pada 28 Jun lalu, kerajaan telah mengumumkan Pakej PEMULIH sebagai antara inisiatif pemberian bantuan menyeluruh kepada rakyat dalam mengharungi kesan akibat pandemik COVID-19," katanya.

 

Semakan status kelulusan BKC boleh dibuat melalui Portal BKC, iaitu https://bkc.hasil.gov.my. 

 

Untuk maklumat lanjut termasuk kriteria penerima dan jumlah bantuan yang bakal diterima, warga Keluarga Malaysia boleh merujuk Jadual 2 serta Soalan Lazim (FAQ) yang turut dimuat naik di portal berkenaan.-Dagangnews.com