Fasa kedua vaksin COVID-19 tentukan jalan pemulihan - Firma | DagangNews Skip to main content

Fasa kedua vaksin COVID-19 tentukan jalan pemulihan - Firma

 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 29 Mac - Sama ada ekonomi negara mampu bangkit daripada pandemik COVID-19, harapannya kini terletak kepada sejauh mana kejayaan program vaksin COVID-19. 

 

Ini akan menentukan landasan ke arah pemulihan ekonomi dan menyakinkan pelabur, demikian menurut CGS-CIMB dalam nota kajian hari ini. 

 

Firma penyelidikan itu juga mendapati, sejak Malaysia kerajaan melonggarkan perintah kawalan pergerakan mulai 5 Mac lalu di Kuala Lumpur, Selangor, Pulau Pinang dan Johor, kes jangkitan baharu juga semakin berkurangan. 

 

Selepas mencatat kes tertinggi pada 30 Januari sebanyak 5,728, ia menurun kepada 1,275 kes baharu yang direkodkan 26 Mac lalu. 

 

"Pendapat kami, ini satu petanda yang baik, bagi momentum pemulihan ekonomi negara.

 

"Sehubungan itu, kami percaya kejayaan pelaksanaan Program Imunisasi Kebangsaan COVID-19 ini akan menjadi kunci utama untuk meningkatkan semula sentimen pasaran," jelasnya.

 

 

Sumber : CGS-CIMB

 

 

Situasi ini, katanya akan mendorong pelabur memilih saham-saham yang cenderung ke arah pemulihan ekonomi, justeru  firma itu mengekalkan unjuran indeks FBM KLCI berlegar sekitar 1,759 mata.

 

Di sebalik keyakinan terhadap prospek ekonomi, CGS-CIMB bagaimanapun menekankan, fasa kedua program vaksinasi ini amat penting kepada negara. 

 

Menerusi fasa ini, kerajaan menyasarkan sebanyak 9.4 juta individu akan divaksinkan dalam tempoh 5 bulan. 

 

"Untuk mencapai sasaran ini, jumlah suntikan sehari perlu ditingkatkan kepada purata 62,666 suntikan sehari berbanding 20,813 suntikan harian sejak 3 minggu di bawah fasa pertama," katanya. 

 

Setakat 26 Mac lalu, sebanyak 446,617 individu telah menerima dos pertama vaksin COVID-19, yang mewakili 89% daripada sasaran kerajaan di bawah fasa pertama. 

 

Malaysia, katanya, berada dalam landasan yang betul untuk menguruskan 500,000 barisan hadapan menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin menjelang akhir April ini. 

 

Pada 15 Mac lalu, Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin berkata, negara akan menerima 1,000,350 dos daripada vaksin Pfizer-BioNTech pada akhir Mac ini. 

 

Negara juga menerima 100,000 dos vaksin Sinovac pada 15 Mac lalu diikuti 100,000 lagi pada 19 Mac. 

 

Selain itu, Malaysia turut mengambil 200 liter secara pukal vaksin Sinovac yang setara dengan 300,000 dos vaksin. 

 

Berdasarkan usaha ini, CGS-CIMB menjangkakan Malaysia akan menerima kira-kira 1.5 juta dos Pfizer dan Sinovac pada akhir bulan ini. 

 

"Ini secara tidak langsung, menunjukkan Malaysia mempunyai bekalan vaksin yang mencukupi untuk mencapai sasaran fasa pertama untuk memvaksinkan 500,000 individu," katanya. 

 

Kerajaan sebelum ini menyatakan, sudah mendapat akses kepada 66.7 juta dos vaksin COVID-19 daripada 5 pengeluar. - DagangNews.com