Fashion Shinder Bollywood di Little India Ipoh  tampilkan fesyen terkini untuk Deepavali | DagangNews Skip to main content

Fashion Shinder Bollywood di Little India Ipoh  tampilkan fesyen terkini untuk Deepavali

Petugas melayan pelanggan untuk memilih pakaian dan fabrik yang sesuai di premis Fashion Shinder Bollywood di Ipoh.
oleh ZAKI SALLEH

IPOH 22 Oktober – Setiap kali menjelang perayaan Deepavali, Little India Ipoh yang terletak di Jalan Lahat di sini menjadi lokasi wajib kepada masyarakat setempat kerana menjadi syurga beli-belah.

 

Premis Fashion Shinder Bollywood tidak terkecuali kerana terkenal dengan pelbagai koleksi pakaian termasuk rekaan fesyen terkini yang menanti pelanggan untuk datang berbelanja.

 

Selain masyarakat setempat, premis ini turut dikunjungi pelanggan dari luar seperti Lembah Klang dan Johor kerana kepelbagaian fesyen pakaian yang ada.

 

Fashion Shinder Bollywood yang merupakan perniagaan keluarga mula bertapak di Ipoh sejak 23 tahun lalu.

 

Pengurusnya, Deep Singh berkata, pemilihan fesyen semasa Deepavali sentiasa berubah di mana tahun ini pelanggan lebih cenderung pada pakaian berwarna terang.

 

Menurut beliau, pada tahun ini fesyen pakaian Punjabi Sharara merupakan trend pilihan terkini dengan pelbagai corak dan warna ditawarkan.


 

shinder
Deep Singh menunjukkan salah satu fesyen Sharara yang menjadi pilihan pelanggan.

 


"Kita sentiasa mengikuti trend fesyen dengan menampilkan gaya semasa.

 

"Premis ini menawarkan lebih 100 jenis fesyen pakaian Punjabi khususnya untuk wanita selain lelaki.

 

"Hampir kesemua pakaian yang dijual diimport dari India Utara, jadi apa juga (fesyen) yang sedang popular di sana ada di sini. 

 

"Inj juga menjadi sebab mengapa premis Fashion Shinder Bollywood berbeza berbanding kedai-kedai lain," ujarnya.


 

shinder
Hampir kesemua pakaian yang dijual diimport dari India Utara dan mengikut gaya trend semasa.

 


Sempena Deepavali, premis tersebut menawarkan potongan harga antara 30 hingga 70 peratus pada pakaian-pakaian terpilih.

 

Deep Singh berkata, potongan harga ini juga sebagai tanda penghargaan kepada pelanggan selain membolehkan mereka datang berbelanja tanpa rasa terbeban.

 

"Harga istimewa ini ditawarkan sejak 1 September lalu sehingga Deepavali sehingga stok yang ada habis dijual.

 

"Kita menawarkan pelbagai pakaian dan fesyen pada harga serendah RM50 hinggalah RM2,000 bergantung kepada cita rasa pelanggan," ujarnya. - DagangNews.com