KUALA LUMPUR 13 Sept - Platform pekerjaan berasaskan teknologi, FastJobs Malaysia menyasarkan untuk memperluas aplikasi mudah alih FastGig yang dilancarkan pada awal tahun ini ke seluruh Malaysia pada 3QFY22.
FastGig yang menggabungkan teknologi dengan maklumat industri bagi kemudahan pengambilan pekerja bagi pencari kerja serta majikan, mempunyai lebih 1.4 juta pencari pekerjaan serta lebih daripada 20,000 jenama pada masa ini.
Pengarah Urusan FastJobs, Joelle Pang berkata, platform itu dapat menghubungkan pekerja gig dan bebas dengan majikan serta perniagaan sekali gus mendorong pertumbuhan dan kejayaan segmen ekonomi baharu.
"Ekonomi gig ini dijangka dapat menyumbang pertumbuhan ekonomi yang mampan dan inklusif kepada Malaysia.
"Ia juga disenaraikan dalam Rancangan Malaysia ke-12 bagi 2021-2025 dan kerajaan mengambil langkah untuk mengawal sektor itu demi kebajikan pekerja,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Di Malaysia, lebih 26% tenaga kerja atau kira-kira empat juta pekerja bebas kini menjadi sebahagian daripada ekonomi gig.
Joelle berkata, FastGig dapat membantu pekerja gig untuk memilih pekerjaan masing-masing mengikut lokasi, syarikat dan skop kerja pilihan berdasarkan jadual serta kemahiran.
FastGig juga dapat memudahkan usaha pekerja gig dengan hanya membenarkan paparan kerja yang sah bagi mengelak sebarang penipuan atau pekerjaan meragukan di aplikasi itu.
Kaedah menerusi sistem gaji berperingkat turut disediakan dengan pekerjaan fleksibel berikutan tambahan insentif ke atas gaji pokok.
"Pekerja bebas boleh menerima bayaran secara dua minggu daripada FastGig yang bergantung kepada kepada jumlah serta kekerapan gig yang dapat mereka siapkan,” katanya. - DagangNews.com