Oleh ZUNAIDAH ZAINON
[email protected]
KUALA LUMPUR 2 Nov. - Pasaran tempatan ditutup rendah pada paras 1,466.46 mata, selepas susut 0.43% petang ini.
Ia menyaksikan kaunter rugi mengatasi untung pada 688 berbanding 364 manakala 401 kaunter tidak berubah dengan 5.93 bilion saham bertukar tangan bernilai RM3.285 bilion.
Pada dagangan tengah hari, indeks FBM KLCI jatuh 12.09 mata kepada 1,454.80 mata setelah dibuka pada 1,465.47 mata.
Bagi pasaran kewangan pula, ringgit ditutup hampir tidak berubah pada RM4.1570/1620 berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
Pagi ini, ringgit memulakan dagangan pada RM4.1560/1600 berbanding dolar AS, lebih rendah daripada RM4.1530/1570 ketika ditutup pada Jumaat.
Ini disebabkan pelabur masih kekal berhati-hati memandangkan Bajet 2021 akan dibentangkan Jumaat ini walaupun kebanyakan pasaran saham serantau menunjukkan peningkatan.
Di samping itu, indeks pengurus pembelian (PMI) IHS Markit Malaysia, indikator komposit bagi mengukur prestasi pembuatan, susut bagi tempoh empat bulan berturut-turut pada Oktober, jatuh 48.5 berbanding 49.0 pada September.
Menurut Hong Leong Investment Bank Research, terdapat 3 faktor akan mempengaruhi pergerakan indeks KLCI minggu ini terutama mesyuarat dasar monetaru Bank Negara Malaysia esok, pilihan raya AS dan Bajet 2021, Jumaat ini.
"Ini akan menyaksikan indeks mengalami turun naik dengan kemungkinan penyusutan seterusnya," katanya dalam nota kajian.
Berdasarkan laporan Reuters, pasaran saham Asia melonjak dari ke paras rendah sebulan hari ini ekoran data China menunjukkan aktiviti perkilangan berkembang pantas dalam tempoh sedekad manakala harga minyak merosot apabila kebanyakan negara Barat mengenakan semula sekatan pergerakan. - DagangNews.com