Felda, Agrobank jalin kerjasama bantu peneroka RM100 juta | DagangNews Skip to main content

Felda, Agrobank jalin kerjasama bantu peneroka RM100 juta

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh (tiga dari kiri) bersama Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang (tiga dari kanan) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian kerjasama antara Felda dan Agrobank di sini hari ini. Turut kelihatan, Timbalan Pengarah Besar (Operasi) Felda, Datuk Amir Hamzah (dari kiri) bersama Pengarah Besar Felda, Datuk Amiruddin Abdul Satar; Ketua Pegawai Perniagaan Agrobank, Ahmad Shahril Mohd. Shariff dan Penanggung Tugas Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank, Khadijah Iskandar.
 

 

Oleh ZUNAIDAH ZAINON
zunaidah@dagangnews.com

 

 

KUALA LUMPUR 15 Mac - Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) menandatangani perjanjian kerjasama Model Baharu Program Pembangunan Peneroka (PPP) Felda dengan Agrobank membabitkan nilai keseluruhan berjumlah RM100 juta.

 

Usaha sama ini akan memberi fokus kepada pelaksanaan projek-projek berskala besar dan bernilai tinggi bagi meningkatkan pendapatan warga peneroka. 

 

Pengerusi Felda, Datuk Seri Idris Jusoh berkata, secara keseluruhan, projek ini menyasarkan penglibatan 100 koperasi peneroka dan 500 individu. 

 

Katanya, ia dijangka memberi tambahan pendapatan sebanyak RM1,000 hingga RM1,500 bagi setiap peneroka dalam bentuk dividen tahunan bagi projek koperasi manakala RM500 hingga RM1,000 sebulan bagi projek individu. 

 

"Sehingga kini, projek-projek yang telah disenaraikan adalah projek penanaman nanas MD2, penanaman cili secara fertigasi dan penanaman halia muda dan tanaman-tanaman bernilai tinggi yang lain pada masa akan datang," katanya. 

 

Beliau berkata demikian dalam majlis menandatangani perjanjian model baharu PPP dengan Agrobank di sini hari ini. 

 

Setiap peneroka atau koperasi rancangan yang layak akan menerima geran daripada Felda bagi kos modal tertakluk kepada nilai maksimum RM20,000 berdasarkan penilaian Agrobank. 

 

Kos operasi pula akan dibiayai oleh pihak Agrobank dengan jaminan daripada Felda. 

 

Pelaksanaan projek akan diuruskan oleh pemain industri dengan pemantauan sepenuhnya oleh koperasi atau badan peneroka. 

 

Bagi kos pembiayaan Agrobank pula, ia hanya perlu mula diibayar oleh peserta apabila projek telah berhasil.

 

Model baharu ini menggariskan pemain industri akan membeli semula hasil yang dikeluarkan dan turut menguruskan operasi projek bagi menyelesaikan isu kemampuan warga peneroka berumur untuk menguruskan kerja pertanian.

 

Dalam usaha sama ini, Felda berperanan sebagai badan yang mengenal pasti lokasi dan kumpulan sasar daripada kalangan peneroka dan koperasi rancangan untuk projek-projek ini dijalankan dan mencadangkan lokasi-lokasi ini kepada pihak Agrobank.

 

Sementara itu, Pengerusi Agrobank, Datuk Mustapha Buang berkata, PPP ini akan membuka peluang baharu kepada komuniti peneroka untuk meneroka peluang pertanian yang berpotensi besar untuk menjana pendapatan lumayan. 

 

"Agrobank secara konsisten terus komited dalam memacu pengamalan konsep pembangunan golongan sasaran dan komuniti setempat dengan menyediakan pembiayaan menyeluruh kepada komuniti Agro merangkumi pembiayaan rantaian penuh seperti pembekalan hasil pertanian hingga ke pemprosesan dan penjualan produk pertanian kepada pengguna," katanya. - DagangNews.com