Felda jamin audit pinjaman dibuat secara profesional, 91,782 peneroka setuju terima | DagangNews Skip to main content

Felda jamin audit pinjaman dibuat secara profesional, 91,782 peneroka setuju terima

 

 


KUALA LUMPUR 20 Ogos - Felda menjangkakan lebih ramai peneroka akan menerima tawaran perjanjian pelarasan pinjaman selepas mengumumkan beberapa inisiatif tambahan. 

 

Malah, Felda juga melanjutkan tempoh penerimaan tawaran sehingga 31 Ogos ini. 

 

Menurut agensi itu, seramai 91,782 penerima atau merangkumi 82% daripada jumlah peneroka telah menandatangani perjanjian pelarasan pinjaman setakat 18 Ogos 2021.

 

"Ini adalah manifestasi penerimaan yang cukup baik daripada warga peneroka selepas inisiatif ini diumumkan ketika Sambutan Hari Peneroka Felda.

 

"Dalam masa terdekat juga surat tawaran bagi insentif kos tanam semula akan dikeluarkan kepada peneroka-peneroka yang layak," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Peneroka dalam kategori ini adalah mereka yang tidak mempunyai pinjaman atau mempunyai hutang kurang RM5,000 di mana Felda akan menanggung kos tanam semula selapas ditolak caruman tanam semula oleh peneroka tertakluk kepada jumlah maksimum RM43,200 (bagi keluasan ladang 10 ekar). 

 

Peneroka yang tidak bersama Felda juga ditawarkan 50% daripada jumlah insentif ini iaitu sebanyak RM21,600.

 

Felda turut menekankan bahawa inisiatif tersebut adalah jalan terbaik bagi warga peneroka terutamanya dengan jumlah bayaran kembali pinjaman kebun yang jauh lebih rendah dan mampu dibayar. 

 

Inisiatif ini juga digagaskan dengan objektif utama mengukuhkan konsep kebersamaan antara peneroka dan
Felda.

 

"Oleh itu, syarat penerimaan insentif yang ditetapkan adalah untuk peneroka menyerahkan pengurusan kebun kepada Felda dan menghantar hasil melalui Felda.

 

"Bagaimanapun peneroka dibenarkan terus mengurus sendiri kebun mereka dengan syarat menghantar hasil kepada Felda dan memastikan kebun diurus mengikut piawaian dan standard Amalan Pertanian Baik," jelasnya.

 

Felda memberi jaminan bahawa jumlah pinjaman peneroka adalah jumlah yang telah diaudit secara profesional merangkumi semua pinjaman-pinjaman lama yang tidak pernah dimuktamadkan dan tidak sepatutnya menimbulkan sebarang keraguan. 

 

"Sekiranya terdapat sebarang isu dan maklumat tambahan, peneroka masih boleh merujuk kepada pengurusan rancangan masing-masing untuk semakan semula," katanya.

 

Kesinambungan inisiatif pelarasan pinjaman ini juga akan disokong dengan usaha intensif Felda dalam meningkatkan kecekapan operasi serta produktiviti ladang termasuk melalui pengaplikasian pertanian pintar seperti Smart Plantation Management Solutions yang telah mula dilaksanakan di ladang-ladang peneroka. 

 

Menurut Felda, sistem ini dijangka dapat menjimatkan kos baja sehingga RM43 juta setahun. 

 

Katanya, penjimatan ini di samping usaha bersepadu lain akan meningkatkan pendapatan peneroka lantas memastikan mereka dapat melunaskan semua pinjaman sehingga pusingan tanam semula berikutnya.

 

"Inisiatif ini akan memberi sinar baru kepada peneroka dengan permulaan kepada model pengurusan pinjaman yang lebih mampan bagi peneroka dan juga Felda.

 

"Kami yakin dengan kejayaan pelaksanaan inisiatif ini, impak yang positif bukan sahaja dapat dilihat dari sudut pendapatan tetapi juga taraf sosioekonomi mereka secara keseluruhannya," jelasnya. - DagangNews.com